Ambil ubat tidak semestinya batal puasa - Utusan Malaysia

Ambil ubat tidak semestinya batal puasa

KEMENTERIAN Kesihatan mengeluarkan garis panduan mengenai penggunaan alat sedut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PUASA bukanlah penghalang untuk pesakit meneruskan rawatan terutama penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan asma.

Secara umumnya, apabila berpuasa kita perlu mengelakkan daripada memasukkan sesuatu ke dalam ruang terbuka seperti hidung, mata, telinga, saluran kencing dan dubur melebihi had ditetapkan.

Bagaimanapun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan penggunaan beberapa jenis ubat dan prosedur yang dibenarkan dan tidak membatalkan puasa, termasuk menggunakan ubat titis mata, telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak melebihi gegendang telinga).

Ini termasuk tablet yang diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan, ubat kumur (sehingga air hampir ke tekak), ubat semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan dan ubat semburan hidung tanpa disedut.

Orang yang berpuasa juga boleh melakukan tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi dan memberus gigi tanpa menelan apa-apa bahan daripada prosedur tersebut, semua jenis suntikan melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah serta pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.

Puasa juga tidak terbatal jika menggunakan ubat jenis sapu, balutan dan plaster pada permukaan kulit dan memasukkan tiub kateter melalui saluran darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram bagi pemeriksaan jantung.

Ini termasuk prosedur biopsi untuk pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan dan rawatan bius setempat atau separuh.

Dalam pada itu, terdapat dua pendapat mengenai batal atau tidak puasa dengan penggunaan inhaler (alat sedut).

Pendapat pertama menyatakan batal kerana terdapat bahan-bahan daripada alat itu yang masuk ke perut melalui mulut (rongga terbuka). Pendapat kedua menyatakan sebaliknya.

Ia terpulang kepada keyakinan pesakit. Sekiranya yakin ubat sedut yang digunakan membatalkan puasa, maka wajib menggantikan semula puasa yang tertinggal itu pada bulan-bulan berikutnya. – UTUSAN

MOHD. RIDZUAN MOHD. SHUKRI, Ahli farmasi di Hospital Pakar KPJ Sri Manjung

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya