SAUDARA PENGARANG,
PENYELESAIAN kepada kemelut politik terus berlaku disebabkan kedegilan segelintir pemimpin dari blok parti pembangkang yang dipercayai didalangi pemimpin Pemuda Pas.
Hal demikian mendorong supaya tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Hasutan 1948 dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan meneruskan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dianggap langkah tepat dan wajar agar dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran buat mana-mana pemimpin pembangkang lain termasuklah ahli akademik agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan hak kebebasan bersuara untuk cuba mencabar pihak berkuasa keselamatan negara dari sudut undang-undang.
Maka seharusnya mereka lebih berhati-hati dan cermat supaya jangan bercakap atau mengeluarkan kenyataan mengikut sedap mulut sahaja.
Hanya menerusi tindakan undang-undang nampaknya dapat meredakan suhu politik.
Saya secara peribadi amat kesal dengan apa yang berlaku. Sepatutnya kerajaan perpaduan yang terbentuk ini harus mendapat kerjasama baik daripada pemimpin blok pembangkang.
Alangkah bagusnya jika pembangkang mengendurkan keadaan dengan melakukan gencatan politik demi kebaikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Dalam perkembangan lain, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil perlu bertindak tanpa membiarkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin bebas bercakap apa sahaja menerusi platform media sosial walaupun mencampuri urusan hal ehwal negara dalam penulisannya.
Raja Petra telah lama menjadi orang buangan atau suaka politik yang merempat di negara lain.
Kesimpulannya, Akta SOSMA dan Akta Hasutan adalah tindakan terakhir wajar dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang mempunyai tujuan atau niat mahu menggugat kestabilan politik negara.
Ayuh, marilah bersama-sama kita membina negara ini untuk kemakmuran rakyat dan masa depan negara yang dicintai.
Sebenarnya cinta dan berbakti untuk negara juga adalah sebahagian daripada pintu berjihad.-UTUSAN
TOK WALI SONGE
Pulau Pinang