Tak mustahil drama Melayu sohor kini - Utusan Malaysia

Tak mustahil drama Melayu sohor kini

KEJAYAAN drama Suamiku Lelaki Pendosa yang mendominasi Anugerah Drama Sangat 2023 anjuran TV3 baru-baru ini seakan-akan angin segar dalam dunia penerbitan siri drama Melayu tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, timbul kontroversi ­ filem Mentega Terbang yang dikatakan menggugat akidah penonton secara terang-terangan melalui adegan dipaparkan. Filem itu ditayangkan melalui platform penstriman Viu sejak 19 Januari lalu sebelum ditarik balik.

Di sebalik kontroversi itu, kita harus akui ada ­filem dan drama yang bagus. Misalnya, kejayaan siri drama Suamiku Lelaki Pendosa yang mendominasi Anugerah Drama Sangat 2023 anjuran TV3 baru-baru ini seakan-akan angin segar dalam dunia penerbitan siri drama Melayu tempatan.

Siri drama ini sebenarnya tular semasa penayangannya kerana mengangkat tema yang tidak biasa, iaitu berkenaan cinta sejenis. Namun, ia diolah dengan rapi dan bukan sekadar untuk menjual sensasi tetapi memberi pengajaran kepada para penontonnya.

Ia juga berjaya menyeimbangkan antara keperluan bagi sesebuah drama untuk tular sambil mempunyai kualiti yang baik.

Jika kita lihat kebelakangan ini, siri drama Melayu khususnya yang disiarkan di stesen berbayar dan platform penstriman sudah mula bangkit dengan tema-tema cerita tidak biasa.

Ia tidak lagi sekadar menjual kisah-kisah khayalan sekitar kahwin paksa, rebutan harta dan kecurangan.

Lihat sahaja siri drama Melayu yang begitu menarik perhatian penonton terutama di platform penstriman seperti One Cent Thief, Nenek Bongkok Tiga, Project: Anchor SPM, i-tan­ggang, Kudeta dan Special Force: Anarchy.

Terkini, Project: High Council yang begitu tular setiap kali episod baharunya ditayangkan. Ia begitu ditunggu-tunggu sehingga ada yang berjaga lewat malam bagi menantikannya.

Watak-watak utamanya menjadi sohor kini dan jalan ceritanya menjadi bualan hangat tanpa sedikit pun mengesampingkan kualiti lakonan, penceritaan dan penerbitannya.

Lihat sahaja sambutan meriah diberikan kepada para pelakon siri drama ini semasa sesi ramah mesra di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.

Sudah lama rasanya siri drama Melayu tempatan tidak mendapat sambutan hangat sebegini, yang biasanya hanya berlaku di saat kehadiran bintang-bintang antarabangsa.

Jika penerbitan siri drama sebegini berterusan, tidak mustahil drama tempatan akan dapat menjadi popular di seantero dunia sebaris dengan drama Korea dan Turkiye yang begitu diminati.

Namun, diharapkan siri drama Melayu terutama di platform penstriman akan terus mengekalkan identiti dan kesopanan masyarakat kita di dalamnya.

Tidak perlulah menonjolkan penggunaan kata-kata kesat dan kasar secara berlebihan yang begitu berleluasa di dalam siri drama.

Mungkin penerbit berpendapat hal sebegini perlu bagi menonjolkan realiti sebenar kehidupan kita. Bukanlah kita mahu menafikan ekspresi seni mereka. Namun, perkara sebegini masih mempunyai kesan tidak baik terutama kanak-kanak dan remaja.

Kita juga khuatir jika siri drama Melayu tempatan di platform ini akan mengikut jejak langkah siri-siri drama penstriman terutama dari negara jiran begitu berani menonjolkan adegan seks keterlaluan yang tidak sesuai sama sekali dengan nilai dan norma masyarakat Timur.

Biarlah siri drama Melayu kita dikenali dengan keaslian jalan cerita, keasyikan konflik di dalamnya serta keunggulan mutu lakonan para pelakonnya.

Tampilkanlah tema drama yang tidak biasa dan menggugah sambil menjaga norma kesopanan yang menjadi identiti rakyat Malaysia selama ini. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya