SAUDARA PENGARANG,
SAYA memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan perhatian dan sokongan kepada pemerkasaan budaya Melayu supaya dikenali dan dicintai semua rakyat tanpa mengenal etnik, agama mahupun umur.
Seni dan budaya merangkumi pelbagai aspek. Ia mewarnai kehidupan seharian, liku-liku kehidupan masyarakat melalui bidang penerbitan, perfileman dan menjadi inti pati utama industri pelancongan serta keunikan sesebuah negara.
Mungkin soal pembangunan dan pembendungan ketirisan menjadi tema utama Belanjawan 2023. Banyak perkara lebih penting, lebih menggugat dalam tempoh terdekat ini mesti ditangani dan diberi perhatian.
Peruntukan RM250 juta untuk sektor pelancongan amat dialu-alukan, begitu juga sasaran menjadikan 2025 sebagai Tahun Melawat Malaysia. Namun, peruntukan untuk pelancongan hanya bertujuan promosi dan menyenangkan pelancong ke Malaysia.
Di mana dana perkembangan kandungan kreatif dan seni budaya untuk menyemarak industri pelancongan? Pelancongan bukan sekadar destinasi, ia satu pengalaman dan dijiwai dengan kesenian serta kebudayaan.
Sebab itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim baru-baru ini mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan satu kawasan dunia Melayu di Kuala Lumpur mengandungi semua elemen yang menonjolkan kekayaan budaya dan warisan Melayu memandangkan tidak wujud identiti padu masyarakat Melayu di ibu kota.
Sesungguhnya kita tahu Malaysia sejak dahulu begitu tersohor seantero dunia melalui nilai kesusasteraan bahasa yang tinggi, keindahan busana, keaslian bunyi-bunyian, kesenian tari-tarian, keilmuannya dan kearifan lokal lain.
Antara nilai khazanah kita termasuk 10,000 manuskrip Melayu bertaburan di lebih 150 muzium dan institusi di 60 negara. Ini bukti kekayaan pengetahuan dunia lama yang pernah kita miliki seperti hukum kanun, ilmu ubat-ubatan, ilmu besi, bahkan pengetahuan maritim sebagai tambahan kepada subjek seperti genealogi raja-raja dan kesusasteraan.
Hari ini, kita melihat negara-negara jiran menggunakan naratif dunia Melayu. Sang Nila Utama diraikan dalam naratif 700 tahun sebagai pengasas Singapura dan pada masa sama mengetepikan sejarah dan peranan kita di rantau ini.
Singapura telah mengisytiharkan peranannya dalam sejarah Nusantara sebagai pelabuhan maritim dan utama di rantau ini. Hilang Melaka. Lenyap Kedah. Kelantan ditelan zaman.
Indonesia juga membina seluruh ekosistem pelancongan yang penuh dengan budaya untuk mempromosikan destinasi utamanya seperti Bali, Medan, Yogyakarta, Lombok dan Ubud. Indonesia mempromosi budaya, makanan dan negara itu sendiri secara agresif ke seluruh dunia.
Kita tidak mengambil peluang untuk menggerakkan Melayu Nusantara secara serius. Kita tidak mengambil iktibar di banyak negara bahawa industri kreatif termasuk seni dan budaya menjana tujuh hingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Di Malaysia dikatakan menjangkau dua peratus sahaja. Kita mempunyai peluang cerah untuk menggandakan hasil KDNK ini. Jangan sebut Korea Selatan yang begitu jauh ke hadapan. – UTUSAN
ZALINA ABDUL AZIZ @ NINOT AZIZ, Pengarang & penulis