SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN hadis riwayat Bukhari jelas memberi gambaran bahawa bulan Ramadan ialah bulan beribadat kepada Allah SWT. Ia juga merupakan bulan kepatuhan kepada semua perintah dan menghindari perkara yang boleh membawa dosa. Itulah sebenarnya suasana yang membawa kepada keberkatan. Maka, sekiranya usaha mencari rezeki juga berlangsung dalam suasana rabbani (ketuhanan), sudah pasti ia akan menarik nilai-nilai keberkatan rezeki tersebut.
Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan peningkatan kos pada bulan Ramadan. Namun, pada masa sama, kita melihat ia sebagai rezeki melimpah ruah bagi sesetengah pihak khususnya peniaga.
Mungkin ada yang merujuk kepada rezeki pada bulan Ramadan dengan ungkapan ‘rezeki sebulan, boleh makan setahun.’ Sekiranya ia dari sumber halal dan berlangsung pada bulan yang penuh keberkatan, maka tidak dapat dinafikan ia adalah satu daripada tanda rezeki halal dan berkat.
Memanglah di luar kemampuan kita untuk menentukan rezeki yang berkat atau tidak berkat. Namun, perkara-perkara yang dinyatakan memberikan gambaran umum dan beberapa kriteria penting.
Antaranya paling penting ialah mengeluarkan zakat bila cukup syaratnya, perbanyak istighfar, menambah ketakwaan kepada Allah SWT melalui kebaikan-kebaikan dilakukan dan banyak bersedekah. Malah, amalan bersedekah juga menambahkan rezeki.
Bersedekah juga tidak sekali-kali mengurangkan harta. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Harta tidak berkurang kerana bersedekah.” (Hadis riwayat Muslim).
Sebagai seorang Muslim, kita meyakini rezeki adalah milik Allah SWT. Dia yang mengurniakan kepada kita rezeki mengikut kehendak-Nya. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’ ayat 3). -UTUSAN
DR. NOR HAZRUL MOHD. SALLEH
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya