Sayang juga kepada alam sekitar - Utusan Malaysia

Sayang juga kepada alam sekitar

JANGANLAH alam sekitar dieksploitasi secara rakus sehingga membawa kepada kemusnahan. – GAMBAR HIASAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONSEP Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada enam tonggak utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Keenam-enam tonggak dasar yang digariskan ini merupakan asas penting dalam memeta hala tuju ke arah Malaysia yang sejahtera dari pelbagai sudut, tidak terkecuali dalam aspek alam sekitar.

Tiga daripada enam tonggak dasar Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan dan ihsan dilihat begitu sinonim dengan alam sekitar.

Menerusi konsep kemampanan, sesuatu aktiviti pembangunan ­ fizikal yang hendak dilaksanakan perlulah diteliti dengan sebaik-baiknya agar tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar dan ekosistem.

Umpamanya, isu pemanasan global, pencemaran dan kemerosotan sumber biodiversiti adalah ekoran sikap dan akhlak yang tidak berpaksikan ajaran Islam sebenar.

Agama itu menganjurkan nilai kecintaan dan kasih sayang terhadap alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya.

Bagi istilah kesejahteraan pula bermaksud keseimbangan kehidupan sejagat yang mencakupi segala aspek. Dalam konteks alam sekitar, kesejahteraan dan pemeliharaannya amat penting untuk dititikberatkan kerana sekiranya berlaku kemusnahan ke atasnya, ia akan mengundang malapetaka dan bencana berterusan ke atas planet bumi.

Seterusnya, konsep ihsan pula merujuk kepada tingkah laku yang baik, jujur, bersikap simpati, bekerjasama, pendekatan berperikemanusiaan dan ikhlas, menjaga dan mementingkan hak sesama insan dan makhluk lain dan memberi sesuatu melebihi daripada yang sepatutnya.

Ihsan juga turut dide­finisikan sebagai memperhatikan, menyayangi, merawat, menghormati dan kasih sayang.

Sekiranya sifat ihsan menjadi asas penting dalam kehidupan seharian, pastinya alam sekitar tidak dieksploitasi secara rakus dan kejam sehingga membawa kepada kemusnahannya. – UTUSAN

ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya