SAUDARA PENGARANG,
SETIAP tahun, isu melibatkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) tidak pernah selesai walaupun rayuan demi rayuan dikemukakan sama ada kepada kerajaan, kementerian berkaitan, malah Majlis Sukan Negara (MSN).
Namun, MSDeaf tidak pernah berputus asa. Hanya dengan menggunakan bahasa isyarat tanpa mengeluarkan kata-kata dari suara, MSDeaf akan terus menyatakan perjuangan persatuan ini.
Apa yang pasti, usaha MSDeaf ini adalah pembelaan untuk orang-orang pekak yang dianggarkan lebih 50,000 di seluruh negara. Itu jumlah rasmi yang mendaftar. Mereka yang tidak mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga dianggarkan ribuan orang.
Sebenarnya, pihak kami berasakan orang pekak di negara ini tidak pernah mendapat pembelaan setaraf orang kurang upaya (OKU) yang lain. Ini termasuk dari segi insentif apabila berjaya memenangi acara sukan di peringkat antarabangsa dan dunia.
Dengan kata lain, insentif OKU bukan pekak lebih tinggi berbanding atlet pekak. Adakalanya orang pekak langsung tidak mendapat insentif.
Perlulah diingat sesuatu insentif memang bukan wajib, namun ia sebagai galakan, terima kasih dan penghargaan kepada atlet kerana menaikkan serta mengharumkan nama negara.
Pihak berkenaan dirasakan tidak pernah mendengar keluhan dan rayuan MSDeaf sebaliknya melabelkan atlet-atlet pekak sebagai atlet ‘kelas ketiga.’
Setelah dilabelkan sebegitu, pihak terbabit turut mahukan atlet pekak bersaing dalam sukan sama dengan golongan normal manakala OKU lain (bukan pekak) dibolehkan pula bersukan dalam kategori khas.
Alasannya, atlet pekak mempunyai fizikal yang sama dengan orang normal. Bayangkan jika dalam sukan olahraga, orang pekak perlu bersaing dengan orang normal.
Sepatutnya pihak terbabit memahami yang atlet pekak mempunyai sukan mereka sendiri, tetapi mereka boleh menyertai sukan orang normal sekiranya ada keadilan diberikan, bukan terus ‘mencampakkan’ mereka bersaing dengan atlet normal hanya setelah melihat atlet pekak sempurna dari segi fizikal.
Walaupun ada atlet pekak di luar negara bersaing dengan atlet normal, mereka diberi bantuan sewajarnya dari segi latihan, jurulatih bertauliah dan alatan bantuan khas untuk atlet pekak turut diambil kira.
Atlet pekak negara luar tetap diberi peluang dan bantuan sewajarnya oleh kerajaan mereka dalam kategori sukan pekak, iaitu sukan yang dikhaskan untuk warga pekak. Jadi, mereka mendapat dua peluang.
Pada September ini, MSDeaf akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali keempat dengan Malaysia sebagai tuan rumah.
MSDeaf kini dalam dilema disebabkan sehingga kini belum ada bantuan atau peruntukan sama ada dari pihak berkuasa mahupun tajaan swasta bagi merealisasikan kejohanan tersebut.
MSDeaf hanya ada masa kira-kira enam bulan untuk menjadikan kejohanan tersebut sebagai realiti. Jika gagal, kemungkinan besar Sukan Orang Pekak Antarabangsa akan menarik semula hak penganjuran berkenaan.
Sehubungan itu, MSDeaf meminta MSN dan kementerian berkenaan lebih memahami keperluan orang pekak. Fahami jiwa orang-orang pekak. Berilah sedikit keistimewaan pada golongan orang pekak.
Akhir kata, MSDeaf mahu dialog atau perjumpaan dari semasa ke semasa antara persatuan ini dengan MSN dan menteri berkenaan.
Melalui dialog dengan ketelusan serta sikap berterus terang mampu menyelesaikan segala permasalahan orang pekak. – UTUSAN
ONG SHIN RUENN, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf)