Nilai hasil kerja, bukan populariti - Utusan Malaysia

Nilai hasil kerja, bukan populariti

ADAKAH Anthony Loke (kanan) memang popular sehingga mengatasi Anwar Ibrahim? – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAJIAN tinjauan berhubung pencapaian kerajaan perpaduan telah dijalankan mengambil kira 100 hari pentadbiran kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurut kajian yang dijalankan, ia bertujuan mengukur prestasi dan tahap sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri ke-10 dan kerajaan pimpinan beliau.

Apa yang menarik dalam kajian itu adalah ia juga mengukur populariti ahli-ahli Parlimen yang memegang jawatan portfolio kementerian tertentu.

Anthony Loke telah mendapat undian populariti yang tertinggi, iaitu sebanyak 49 peratus. Apa yang juga menarik perhatian dalam kajian tersebut, populariti Anthony telah mengatasi populariti Anwar.

Hasil tinjauan ini telah dilaporkan di media dan dikongsikan kepada masyarakat secara agak meluas. Mari kita bincang serta kupas apakah tujuan tinjauan ini. Dan apakah yang difahami daripada hasil tinjauan tersebut.

Adakah Anthony memang popular sehingga mengatasi Perdana Menteri atau apakah sebenarnya yang menjadi teras utama kepada hasil tinjauan kajian 100 hari kerajaan perpaduan yang mungkin perlu dilihat dari beberapa sudut pandang?

Pertamanya, media sosial telah mencetuskan perubahan besar dalam mengubah persepsi masyarakat. Sikap terjah dan turun padang yang dipaparkan secara menarik ala santai dan tidak formal jelas disukai rakyat.

Media sosial telah membawa satu mesej yang jelas – menteri perlu tular untuk terkenal dan perlu kelihatan luar biasa bagi diminati.

Tidak dinafikan ia penting tetapi adakah ini realiti kepimpinan politik sekarang? Jadikan diri anda kelihatan dan anda akan popular.

Menyamar di kawasan umum dan dirakam oleh orang awam akan membuatkan anda diminati. Tahniah kepada Anthony kerana telah meninjau sendiri keadaan perkhidmatan pengangkutan awam serta membawa dimensi baharu watak kepimpinan turun padang dengan cara yang santai.

Namun, masyarakat harus kembali pada asal kepentingan kepimpinan politik. Kepimpinan politik adalah satu tanggungjawab besar dalam membantu masyarakat dipelihara dari segala aspek kehidupan mereka.

Setiap kementerian mempunyai hala tuju dan menteri dalam portfolio berkaitan wajib membawa perubahan dalam kepimpinan kementerian masing-masing.

Pembangunan jangka pendek dan panjang sesebuah kementerian haruslah lebih telus, mengambil kira kesan dasar serta polisi kepada orang awam.

Namun, bukan semua ahli politik perlu membuat gimik politik semata-mata. Gimik politik harus disandarkan pada perubahan dasar serta polisi yang harus memberikan kesan untuk rakyat.

Tinjauan dengan cara sebegini seperti yang dilakukan untuk mengukur kejayaan kerajaan perpaduan adalah baik tetapi objektif kajian haruslah tidak hanya demi mengukur persepsi populariti dengan asas persepsi keterujaan kehadiran pemimpin turun padang serta terkenal di media sosial.

Tetapi ia harus dipadatkan dengan apa yang berjaya dilakukan secara pantas, konsisten dan berterusan. Persepsi populariti perlu dipertejemahkan dengan hasil yang mampu menyeronokkan orang awam dan boleh memberikan maklum balas lengkap kejayaan kementerian berkaitan.

Nilai tinjauan perlu ditambah dengan mencari kumpulan sasaran menteri di kawasan kerja mereka, bukan dari kawasan media sosial mereka.

Populariti yang dihebahkan hasil tinjauan ini mungkin baik tetapi khuatir ia akan memberikan mesej yang salah pada anggota kerajaan perpaduan, iaitu mereka perlu popular untuk dianggap berjaya.

Terdapat unit kementerian yang bergerak secara agresif di kawasan kerja mereka. Menteri yang lakukan semak imbang mendapatkan maklumat kawasan pedalaman terpencil, memfokuskan masalah berlarutan dan krisis rakyat, namun tidak dapat ditonton secara menyeronokkan dalam media sosial.

Tidak salah untuk masyarakat teruja dengan tinjauan tersebut kerana populariti juga penting tetapi jangan terlampau dan silap faham menjadikan watak menteri kerajaan perpaduan seperti artis hiburan.

Mereka perlu dinilai dari cara mereka bekerja dan tinjauan yang tepat harus dibuat kepada kawasan kerja mereka dan siapa yang berada di bawah kawal seliaan mereka untuk menjadikan tinjauan ini lebih tepat adil dan bukan tinjauan untuk mengukur populariti semata-mata. – UTUSAN

SM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya