SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI kita semua tahu, persidangan Dewan Rakyat tidak akan meriah tanpa gelagat Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang sering membangkitkan pelbagai isu nasional.
Dalam kesibukan Yang Berhormat (YB) bersidang di Dewan Rakyat, saya memohon agar dapat melihat segera kerosakan jalan dari Bangi Lama menghala Taman Impian Putra, Bandar Seri Putra, Selangor yang menjadi laluan utama penduduk sekitar untuk ke Bandar Baru Bangi serta Putrajaya. Laluan tersebut berlubang dan sejak sekian lama mengalami kerosakan.
Saya juga memohon pejabat YB agar dapat bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memastikan laluan dari Bangi Lama menghala Semenyih berdekatan Bangi Wonderland yang gelap dapat diberikan kemudahan lampu jalan memandangkan laluan tersebut dipenuhi rumah selain infrastruktur lain yang semakin meningkat.
Dengan kemudahan sedia ada, sewajarnya lampu jalan turut menerangi kawasan berkenaan.
Selain YB sentiasa memperjuangkan isu-isu di peringkat nasional, saya dan komuniti penduduk Bandar Seri Putra amat berharap ahli Parlimen kami sering kali turun padang melihat permasalahan penduduk di sini memandangkan kawasan ini merupakan perbandaran yang semakin membangun.
Kami sebagai pengundi menuntut pemimpin proaktif yang mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat secara cepat. Saya yakin YB amat prihatin dengan permasalahan ini. – UTUSAN
PUTERI ARINENA, Bandar Seri Putra, Selangor