SAUDARA PENGARANG,
PENDUDUK Malaysia semakin meningkat usia dan cabaran dihadapi oleh masyarakat menua di negara ini juga semakin mendesak.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia diunjurkan menjadi masyarakat yang semakin menua menjelang 2030 dengan lebih 15 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas.
Walaupun penduduk yang semakin tua boleh bermaksud peningkatan pengetahuan dan pengalaman, ia juga boleh mencetuskan cabaran baharu kepada negara. Seiring peningkatan usia, golongan ini akan mengalami lebih banyak masalah kesihatan.
Ini bermakna sistem penjagaan kesihatan perlu bersiap siaga untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua.
Warga emas di Malaysia bergantung kepada bantuan kerajaan atau keluarga terdekat untuk menampung kehidupan.
Bagaimanapun, apabila umur penduduk dan struktur keluarga berubah, sokongan ini mungkin menjadi kurang ampuh.
Kesan serius termasuk kualiti hidup menjadi lebih rendah, akses terhad kepada sumber dan peluang, peningkatan risiko pengasingan sosial, kemurungan dan masalah kesihatan.
Oleh itu, wujud keperluan mendesak untuk penjagaan sokongan bagi warga emas menjalani aktiviti harian dan rawatan kesihatan. Komitmen ini menjadi suatu cabaran besar dan ramai penjaga warga emas mungkin bergelut dengan keletihan dan tekanan kewangan.
Secara keseluruhan, menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat yang semakin tua memerlukan usaha bersepadu daripada kerajaan, penyedia penjagaan kesihatan, organisasi masyarakat dan individu. – UTUSAN
IZA FARADIBA MOHAMMAD PATEL, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak