Mahasiswa perlu ada kecerdasan emosi sebelum mengkritik

Mahasiswa perlu ada kecerdasan emosi sebelum mengkritik

KECERDASAN emosi yang tinggi amat penting agar mahasiswa dapat membuat keputusan dalam keadaan fikiran yang rasional dan waras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberi ‘lampu hijau’ kepada mahasiswa untuk memberi kritikan serta menyuarakan pandangan bagi menegur kerajaan perpaduan tanpa mencerca, ucapan bersifat perkauman atau fahaman agama yang melampau.

Ini amat penting bagi melahirkan golongan mahasiswa yang mempunyai daya fikir yang kritis dan kritikal. Keadaan ini juga dilihat mampu menjadikan institusi pendidikan sebagai satu platform terbaik bagi percambahan idea dan pertukaran pendapat demi kesejahteraan masyarakat.

Mahasiswa merupakan aset negara yang amat bernilai. Mereka merupakan golongan pelapis kepimpinan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. Sewajarnya mereka diberi peluang bagi menyuarakan pendapat serta pandangan terutama berkenaan soal kepimpinan dan pentadbiran masyarakat.

Namun, adakah mahasiswa bersedia untuk menjadi sebahagian daripada mata dan telinga kerajaan yang jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam melontarkan idea ataupun hanya sekadar menyatakan emosi ketidakpuasan hati apabila keinginannya tidak dipenuhi dengan baik? Adakah mereka mampu menguasai emosi dengan baik sehingga dapat memberi kritikan yang membina berdasarkan hujah serta fakta yang tepat dan jelas?

Selain lapan kecerdasan diperkenalkan Dr. Howard Gardner pada 1983, terdapat satu lagi kecerdasan yang perlu diperteguhkan dalam diri mahasiswa terutamanya pada zaman kini iaitu kecerdasan emosi. Teori kecerdasan emosi ini diperkenalkan Daniel Goleman yang merujuk pada kemampuan seseorang yang mengetahui dan mengendalikan gejala-gejala mahupun informasi yang bersifat emosi.

Sebagai seorang pemimpin, kecerdasan emosi yang tinggi amat penting agar mereka dapat membuat sesuatu keputusan dalam keadaan fikiran yang rasional dan waras. Mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan sendiri serta sentiasa memikirkan kepentingan organisasi dan masyarakat sekitar. Kecerdasan emosi yang tinggi juga mampu melahirkan banyak sifat kepimpinan yang positif seperti percaya diri, memiliki kekuatan dan ketahanan mental juga fizikal, antusias, rasa tanggungjawab dan paling penting memiliki empati dan hubungan baik dengan sesama manusia.

Dan apabila peluang dibuka kepada mahasiswa untuk menjadi pengkritik kepada kerajaan, adakah mereka telah mempunyai indikator semua kecerdasan ini sebagai persediaan untuk memberikan kritikan yang membina demi masa hadapan negara yang cemerlang? Tepuk dada, tanyalah hati sendiri.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD SHAH dan MUHAMMAD IMAN ZULKIFLI
UiTM Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya