SAUDARA PENGARANG,
PEMBASMIAN kemiskinan merupakan salah satu daripada tiga keutamaan strategik dalam kerangka Malaysia Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu.
Strategi ini menjadi penting disebabkan setelah lebih 60 tahun kemerdekaan, jumlah golongan miskin tegar masih lagi tinggi melibatkan 136,000 isi rumah manakala 308,000 isi rumah lagi dalam kategori miskin.
Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua dan lima peratus pada suku pertama, ia tidak menggambarkan penurunan angka kemiskinan negara.
Ini disebabkan KDNK menggambarkan produktiviti dan kecekapan sesebuah negara dalam menjana pendapatan keseluruhan dan tidak menunjukkan gaji purata yang diperoleh oleh rakyat sesebuah negara.
Justeru, transformasi model ekonomi negara perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan hidup rakyat berjalan seiring sebagaimana dinyatakan dalam strategi Malaysia Madani.
Antara transformasi itu ialah Malaysia perlu beralih kepada model perniagaan inklusif yang memfokuskan penglibatan sektor korporat melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Model ini dipacu oleh syarikat besar dengan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komuniti dengan melibatkan mereka dalam rantaian bekalan sebagai pembekal, pemborong, rakan dagang atau pelanggan.
Model ini juga telah pun berjaya dilaksanakan di beberapa negara membangun. Sebagai contoh, di Ethiopia pada 1999, The Coca-Cola Company mewujudkan pusat pengedaran mikro sebagai inisiatif membantu usahawan setempat menjana pendapatan sebagai pengedar produk mereka.
Di Thailand, syarikat pengeluar produk organik, Urmatt Group melibatkan lebih 3,000 pesawah kecil untuk mengeluarkan beras organik.
Bagi memastikan model perniagaan inklusif ini berjaya dilaksanakan, ia hendaklah diseliakan secara langsung oleh Kementerian Ekonomi. – UTUSAN
PROFESOR DR. WAN FAUZIAH WAN YUSOFF, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)