SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin berkongsi maklumat kepada para pembaca Utusan Malaysia yang ingin mempertingkatkan pembelajaran al-Quran menerusi kaedah digital sepenuhnya. Menariknya, kita tidak perlu mengeluarkan belanja kerana aplikasi yang disediakan adalah percuma.
Untuk makluman, Universiti King Saud di Riyadh, Arab Saudi telah memperkenalkan aplikasi bagi memudahkan umat Islam mempelajari, mengikuti bacaan dan memahami makna ayat-ayat al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa serata dunia.
Ini termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan sebagainya. Kita juga bebas memilih suara qari di Mekah dan Madinah termasuk Imam Besar Masjidil Haram dan juga Masjid Nabawi.
Ikuti kemerduan suara Sheikh Abdul Rahman Sudais, Saad Al-Ghamdi, Abdullah Basfar, Al-Menshawy dan sebagainya. Untuk tujuan itu, kita boleh melayari laman web https://quran.ksu.edu.sa yang memperkenalkan pendekatan mesra Muslim dalam menggalakkan orang awam mendekati dan mempelajari al-Quran secara lebih mudah.
Ini bertepatan dengan sambutan Ramadan tidak lama lagi yang merupakan bulan al-Quran kerana diadakan sambutan Nuzul Quran, iaitu peristiwa penurunan ayat al-Quran kali pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan tahun 41 keputeraan baginda.
Saya berharap perkongsian ini dapat diuar-uarkan menerusi media sosial termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya agar lebih ramai mendapat manfaat daripada aplikasi tersebut. – UTUSAN
RINDU HARAMAIN, Bukit Mertajam, Pulau Pinang