Hanya 10 bulan untuk agih peruntukan - Utusan Malaysia

Hanya 10 bulan untuk agih peruntukan

PENJAWAT awam perlu bersifat amanah dan jujur ketika membuat pengagihan Belanjawan 2023. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM menempuh ketidaktentuan ekonomi global, agihan Belanjawan 2023 perlu dilakukan dengan amanah dan jujur.

Ketelusan di peringkat penjawat awam yang terlibat dengan pengagihan itu hendaklah bukan sekadar kata-kata indah di mulut sebaliknya kepercayaan dalam hati yang perlu dijelmakan dengan perbuatan. Perlu juga dipastikan tidak berlaku kesilapan dalam pengagihan dan tidak boros serta membazir.

Dengan penetapan unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus pada tahun ini, langkah penguatkuasaan setiap agensi berasaskan hasil seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri hingga kepada agensi berasaskan perkhidmatan seperti universiti harus dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Penjawat awam juga harus bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal. Dalam mengurus sejumlah peruntukan belanjawan, antara elemen negatif yang perlu diberikan perhatian ialah tiadanya agihan dengan keputusan silo, mentaliti silo dan budaya silo.

Sifat ini harus dibuang jauh-jauh bagi meminimumkan pembaziran. Segala-galanya boleh dilakukan jika penjawat awam mempunyai sifat mahu berubah dan menerima perubahan.

Perubahan adalah peralihan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Mentaliti yang tidak mahu berubah kerana faktor keselesaan sedia ada, tidak mahu wujud konflik dan tidak mahu ambil risiko yang tidak pasti harus dibuang jauh.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang dibuat untuk kali kedua baru-baru ini memerlukan sektor awam mengurus dan mengagih peruntukan dengan pantas bagi memastikan wujud perubahan kepada keadaan lebih baik.

Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Ra’ad (13:11): “Sesun­gguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Baki 10 bulan yang tinggal harus dimanfaatkan sepenuhnya. Marilah berubah dan bersatu dalam menggalas kepercayaan rakyat demi kesejahteraan ekonomi negara. Setiap wang rakyat harus dipulang semula kepada rakyat dengan pengurusan belanjawan berkesan. – UTUSAN

DR. LUTFAN JAES, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya