SAUDARA PENGARANG,
KINI satu konsep baharu pelaburan yang menyeluruh mula diperkenalkan iaitu ESG (prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus). Ia merupakan satu bentuk pelaburan yang mengetengahkan konsep ketelusan dalam operasi sesebuah syarikat dan sejauh mana impak syarikat itu kepada masyarakat dan alam sekitar.
Banyak syarikat sudah mula membuka mata terhadap kepentingan ESG yang menjadi tunjang utama operasi sesebuah syarikat. Pun begitu, terdapat perbezaan di antara cara saringan antara pelaburan patuh syariah dan pelaburan konvensional. Dalam konteks penilaian patuh syariah, sesebuah syarikat itu diukur dari dua aspek iaitu dari segi aktiviti perniagaan dan juga nisbah kewangan. Bagi pelaburan ESG pula, rata-rata syarikat diukur dengan cara melihat kepada operasi syarikat terbabit sama ada bebas daripada unsur-unsur pencemaran, senjata haram dan penghasilan tembakau, misalnya.
Pelaksanaan konsep ESG dapat membantu pelabur mendapatkan idea asas tentang operasi sesebuah syarikat keseluruhannya. Pelabur dapat mengetahui cara pemprosesan bahan, cara pelupusan bahan terbuang, penjimatan tenaga dan juga dasar sesebuah syarikat itu dalam menjaga kelestarian alam.
Dalam pada itu, para pelabur dapat mengetahui cara untuk mengurangkan risiko dan mengenal pasti peluang yang ada. Para pelabur juga sudah cerdik dalam menilai sama ada sesebuah syarikat itu bernilai atau tidak. Mereka mula mengambil kira isu alam sekitar dan sosial yang kian meruncing.
Isu perubahan iklim juga menjadi titik tolak yang menyumbang kepada kesedaran melabur dalam pelaburan mampan. Jika syarikat itu tidak telus dan menjadi penyebab kepada masalah tersebut, maka pelabur pasti sudah hilang kepercayaan dan tidak mahu melabur di syarikat itu.
Oleh itu, pelaksanaan konsep ESG merupakan salah satu inisiatif dalam menunjukkan kesungguhan dunia korporat dalam menjaga kelestarian alam dan ketelusan sesebuah organisasi.
Pelbagai inisiatif daripada Bursa Malaysia dalam menggalakkan syarikat kecil atau besar untuk melaksanakan konsep tersebut. Para pelabur runcit juga harus melakukan pencarian maklumat sebelum melabur bagi memastikan mereka melabur pada syarikat yang betul. Jika tidak, mereka mungkin menjadi penyokong kepada segala ketirisan yang berlaku di dalam syarikat dan menyebabkan usaha kelestarian dan keadilan susah untuk dilakukan.-UTUSAN
TENGKU NURUL FATIHAH TENGKU SHAHIRAN & PROFESOR MADYA DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)