‘Cantas’ tangan ghaib sektor pendidikan - Utusan Malaysia

‘Cantas’ tangan ghaib sektor pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik dengan laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 Februari lalu yang memetik kenyataan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Awah, Maran, Pahang berhubung peruntukan membina dan membaik pulih kantin sekolah yang rosak dan dikategorikan kritikal sudah diperoleh pada 2016 berjumlah RM309,000.

Bagaimanapun, dipercayai peruntukan itu telah ‘dialihkan’ ke sekolah lain oleh ‘tangan ghaib’ dalam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran.

Sebelum itu, akhbar ini pada 10 Februari melaporkan isu kerosakan kantin sekolah berkenaan yang menyebabkan 230 murid terpaksa makan merata-rata termasuk di tepi longkang.

Ada dalam kalangan mereka makan di dalam kelas, di laluan pejalan kaki dan di bawah khemah yang dipasang pihak sekolah. Jika hujan, murid tiada pilihan dan terpaksa makan di bawah khemah disediakan walaupun berlecak.

Bagi 25 guru dan tujuh kakitangan kumpulan sokongan, mereka juga terpaksa membungkus makanan dan makan di dalam bilik guru.

Sebenarnya isu campur tangan pihak tertentu atau tangan ghaib dalam sesuatu projek kerajaan sudah lama berlaku. Tangan ghaib ini atau ‘Napoleon kecil’ mempunyai kuasa pemutus dan boleh memuktamadkan sesuatu keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya.

Napoleon kecil adalah analogi sifat penjawat awam mirip maharaja Perancis abad ke-18, Napoleon Bonaparte yang sombong, bongkak dan suka berlagak dengan kuasa.

Istilah ini merujuk kepada sekumpulan kecil penjawat awam yang menguasai pejabat-pejabat awam dan berlagak seperti terlampau berkuasa sehingga melebihi pegawai atasan.

Pengalaman saya sebagai bekas guru, apabila berlaku campur tangan pihak tertentu atau wujudnya tangan ghaib ini, ia meninggalkan kesan mendalam terhadap kakitangan kerajaan lain dalam sektor pendidikan, lebih-lebih lagi murid.

Pernah pengalaman saya berlakunya kekurangan lima guru setelah mereka bertukar ke sekolah lain. Disebabkan kekurangan guru yang agak besar itu, guru sedia ada terpaksa memikul tanggungjawab mengambil alih tugas mereka.

Antaranya masa mengajar guru bertambah, masa terluang menjadi sedikit dan beban bertambah kerana perlu menguruskan aktiviti kokurikulum murid.

Sampailah masa awal tahun, guru besar memaklumkan sekolah mendapat tiga guru baharu tetapi bukan lima orang seperti diperlukan. Tetapi itu lebih baik daripada tiada langsung.

Berita gembira itu hanya bertahan beberapa bulan kerana guru baharu terbabit kemudiannya ‘diambil’ oleh sekolah lain yang lebih besar, mempunyai kemudahan lebih lengkap dan mempunyai sokongan tangan ghaib.

Apabila soalan diajukan kepada guru besar, beliau mengatakan suara kita tidak dipedulikan. Sebagai sekolah kecil, kita terpaksa menerima hakikat pihak lain mempunyai kuasa mengalih guru kerana suara mereka didengar dan mempunyai sokongan tangan ghaib.

Timbul persoalan dalam hal ehwal pertukaran guru ini, siapa yang berkuasa? PPD, guru besar atau tangan ghaib terbabit?

Pertukaran guru yang dialihkan oleh tangan ghaib ini memang menjadi isu utama sesebuah sekolah yang kekurangan guru apatah lagi sekolah yang pencapaian akademiknya tidak memuaskan.

Lebih mengecewakan lagi adalah di mana pendemokrasian pendidikan yang dicanangkan supaya murid tidak kira kaya atau miskin berhak mendapat akses pendidikan secara sama rata.

Untuk menyelesaikan isu ini, kerajaan mesti mengakui memang wujud tangan ghaib dalam pentadbiran awam di negara ini. Mereka menjadi kuat dan berpengaruh kerana memiliki kuasa, pengaruh politik dan wang.

Kesannya, tindakan tangan ghaib ini telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran murid terganggu semata-mata bagi memenuhi agenda peribadi mereka. – UTUSAN

PESARA GURU, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya