Beri nasihat, bukan reman

Berhati-hati ketika menerbitkan sesuatu di media sosial

TANGKAP layar video memaparkan remaja tidak berpuas hati dengan soalan-soalan dalam kertas peperiksaan SPM subjek Sejarah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELEFON penulis bergetar. Amat rancak. Semakin tidak diendahkan, semakin rancak ia bergetar. Baik saja ianya dimatikan, bisik hati kecil penulis. Kerana ianya mungkin mengundang fitnah, serta tuduhan semberono dari sang permaisuri yang sedang lena beradu. Kecoh dibuatnya nanti.

Telefon di capai. Sebelum ia dimatikan, penulis menilik aplikasi WhatsApp, punca getaran bertalu-talu tadi.

Riuh. Kumpulan WhatsApp peguam kecoh dengan cerita yang hangat diperbincangkan oleh seluruh lapisan masyarakat bumi keramat ini.

Dua orang remaja direman oleh pihak berkuasa. Alasan yang diberi oleh pihak berkuasa antara lain adalah remaja-remaja ini telah menyalahgunakan media sosial.

Menurut laporan media massa, remaja-remaja ini telah melahirkan ketidakpuasan hati mereka kerana apa yang telah ditelaah tidak dizahirkan dalam soalan kertas peperiksaan yang diduduki. Mereka menggunakan kata-kata yang dipandang kesat, lalu pihak berkuasa telah menggunakan kuasa mereka untuk mereman remaja-remaja tersebut.

Apakah kata-kata tersebut? Mungkin ianya serangkai kata-kata menghina dan mungkin juga ianya mengundang suatu fitnah yang dahsyat. Atau mungkinkah kata-kata itu juga menjejas ketenteraman awam yang akan membawa kekecohan pada masyarakat berbilang bangsa bumi tercinta ini?

Penulis sedar, sekiranya datang seseorang membawa suatu berita, maka ia harus diperiksa dengan teliti. Maka berlandaskan kesedaran ini, penulis segera ke aplikasi TikTok. Kata-kata remaja tersebut harus dinilai oleh penulis sendiri dengan minda yang objektif serta bebas dari sebarang prejudis.

Setelah sekian lama di cari, akhirnya terbitan yang menjadi asas kemelut ditatap oleh penulis.

Video memaparkan keluhan seorang pelajar belasan tahun. Anak muda itu melahirkan ketidakpuasan hati dengan menggunakan kata-kata yang agak kesat, serta isyarat jari jemari yang menghina, suatu isyarat yang dikenali oleh masyarakat antarabangsa sebagai isyarat yang amat tidak sopan.

Adakah video ini yang dimaksudkan? Adakah video ini video yang sama yang memaksa pihak berkuasa untuk menggunakan kuasa mereka mereman anak muda ini?

Berulang kali penulis membelek kandungan video itu. Ungkapan yang dilahirkan memang kesat, tetapi apa bezanya dengan ungkapan yang digunakan oleh sebahagian kecil ahli politik kita dikedua-dua belah jurang politik? Sekiranya terdapat sebarang kesangsian, penulis menjemput pembaca untuk menyaksikan perdebatan di dewan Parlimen yang disiarkan di YouTube. Contoh yang dipaparkan oleh mereka sedikit sebanyak membentuk minda serta percakapan anak muda kita.

Berbalik kepada diskusi kita. Pada tahap ini, penulis menjemput pembaca untuk mengamati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kita. Antara lain, Perkara 10 memberi kebebasan bersuara kepada rakyat,  tetapi kebebasan ini bukanlah suatu kebebasan mutlak. Ini adalah kerana Parlimen boleh meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan ini. Sebagai contoh, terdapat undang-undang yang tidak membolehkan suatu terbitan fitnah disebarkan. Dan terdapat juga undang-undang yang menyekat sesuatu ungkapan bersifat hasutan, yang mana ungkapan itu boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Kita amati video anak muda tadi. Adakah ungkapan beliau memenuhi ciri-ciri fitnah atau hasutan? Atau mungkinkah anak muda itu telah menyalahgunakan kemudahan internet dengan ungkapannya itu, dan dengan yang demikan melanggar peruntukan s.233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998?

Puas penulis membelek video itu berkali-kali. Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, video itu harus dinilai dari sudut objektif dan tanpa sebarang prejudis. Dan pada masa yang sama, konteks dimana ungkapan itu telah dilahirkan, harus diambilkira.

Pada pendapat penulis, video dan percakapan di dalamnya itu tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang. Video itu hanya memaparkan suatu kenyataan yang mungkin juga telah diungkapkan oleh sebahagian besar individu-individu yang pernah menduduki peperiksaan suatu ketika dahulu. Itu sahaja. Perkataan yang digunakan mungkin kesat, tetapi sejauh manakah ianya memfitnah? Ianya tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Perkataan-perkataan itu juga jauh sekali akan menjejas ketenteraman awam. Adakah kerajaan Singapura akan memutuskan talian diplomatik dengan negara kita hanya kerana video ini? Seharusnya tidak.

Walauapapun, tidak boleh dinafikan tindakan pihak berkuasa ini mengundang persepsi yang amat negatif.

Masyarakat akan bertanya – Apakah perbezaan keluhan anak muda ini, dengan kritikan yang dilahirkan oleh seorang bekas pemain badminton terhadap Persatuan Badminton Malaysia di mana kritikan tersebut jelas menghina ugama Islam dan bangsa Melayu baru-baru ini? Adakah perintah reman juga di ambil terhadap bekas pemain badminton ini? Mungkin oleh kerana pemain badminton ini telah menerbitkan suatu permohonan maaf, yang mana telah diterima oleh pihak berkuasa. Oleh itu, tiada tindakan lanjut diambil.

Tetapi mengapakah perintah reman masih dikeluarkan terhadap anak-anak muda ini? Bukankah mereka juga telah memohon maaf dengan tindakan mereka itu?

Sekiranya dibanding, ungkapan bekas pemain badminton itu lebih pedas dan lebih mengundang kontroversi.

Sedikit sebanyak, tindakan pihak berkuasa mereman anak-anak itu di musim peperiksaan SPM, pasti akan mengakibatkan minda mereka terganggu. Tidak boleh dinafikan, ini akan mengganggu ketenteraman serta konsentrasi  mereka dari segi psikologi tatkala menghadapi peperiksaan yang akan membentuk masa depan mereka. Sepatutnya, anak-anak muda ini di beri kaunseling serta nasihat. Bukan di reman. 

Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, Perkara 10 memberi kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia. Dan kebebasan bersuara ini merangkumi kritikan terhadap mana-mana pihak, walaupun kata-kata yang digunakan tidak enak didengari.

Akhir kata, penulis mengingatkan dirinya sendiri dan juga kepada pembaca – berhati-hatilah ketika menerbitkan sesuatu di media sosial. Apa yang mungkin dianggap remeh oleh kita, mungkin akan menjemput tindakan undang-undang dari pihak berkuasa. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak terbitan, reman jawapannya.

DATUK M. REZA HASSAN
Pengamal undang-undang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya