Bakal muncul pasaran gelap barangan mewah

Bakal muncul pasaran gelap barangan mewah

SYARIKAT barangan mewah dari luar negara mungkin keberatan untuk membuka butik dengan jenama mereka di Malaysia berikutan pengenalan Cukai Barangan Mewah. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN telah mengumumkan pengenalan Cukai Barangan Mewah (CBM) semasa pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini untuk meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.

Di atas kertas, langkah ini terlihat baik dalam memastikan golongan berpendapatan tinggi dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada proses pemulihan ekonomi negara.

Ia juga dikatakan bakal mewujudkan keadilan sosial dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini. Namun, dalam jangka panjang, cukai sedemikian bakal memberi kesan tidak baik kepada seluruh masyarakat termasuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Tidak mustahil cukai sebegini akan menggalakkan golongan berpendapatan tinggi (T20) bercuti dan berbelanja di luar negara demi mendapatkan barangan mewah dengan harga lebih rendah.

Bila ini berlaku, negara bakal kehilangan pendapatan kerana mereka tidak berbelanja dalam negara dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Lebih malang lagi, situasi ini akan menyuburkan pasaran gelap bagi barangan mewah sebegini. Hal ini tidak lagi mustahil sekarang di era perniagaan dalam talian demi mengelakkan cukai tambahan ini.

Katakanlah golongan T20 benar-benar tidak lagi membeli barangan mewah di dalam negara, pengeluar dan penjual barangan mewah tempatan akan turut mengalami kemerosotan jualan dan mungkin mengalami kerugian.

Bila ini berlaku, mereka terpaksa menutup perniagaan atau mengurangkan pekerja yang kebanyakannya datang daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Bukan itu sahaja, syarikat barangan mewah dari luar negara juga akan keberatan untuk membuka butik dengan jenama mereka di sini kerana margin keuntungan yang kecil dan kurangnya pembeli disebabkan cukai ini.

Sudah pastilah pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 dengan pembukaan butik-butik ini akan lenyap.

Ketika golongan T20 membeli barangan mewah, mereka sebenarnya mewujudkan jaringan ekonomi di dalam sektor peruncitan. Mereka secara tidak langsung mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan daripada pengeluar, pembekal, pengedar dan peruncit.

Mereka juga mempertingkatkan daya saing produk mewah tempatan supaya sebaris dengan jenama antarabangsa menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggalakkan perkembangan teknologi terbaharu.

Kesemuanya berkait rapat dengan kelangsungan hidup masyarakat B40 dan M40 kerana golongan inilah yang akan berkhidmat dan bekerja untuk merealisasikan perkara ini.

Justeru, janganlah kita sekadar melihat golongan berkemampuan dengan iri hati. Lihatlah mereka dengan mata hati dan carilah hal yang boleh disyukuri.

Benar, memang ada segelintir pihak yang berasa puas dan gembira saat cukai ini diumumkan. Namun persoalannya sekarang, adakah pendapatan rakyat Malaysia terutama B40 akan bertambah kerana cukai ini? Sudah tentu tidak.

Cukai terbaharu ini bukan sebuah penyelesaian ideal. Ia tidak pun menjadikan gaji kita lebih tinggi atau menurunkan harga barangan. Ia cuma bersifat populis dan sementara.

Banyak lagi kaedah bagi menambah pendapatan negara. Kecekapan sistem kutipan hasil negara contohnya, boleh diperbaiki. Kawalan dan ketirisan perbelanjaan di semua peringkat pentadbiran kerajaan juga perlu dipertingkatkan.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya