SAUDARA PENGARANG,
LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei dan Indonesia baru-baru ini mencerminkan kepentingan strategik dua hala kepada ketiga-tiga negara, terutamanya dalam spektrum transformasi ekonomi, sumber baharu serta lembaran strategik keselamatan dan pertahanan.
Berpaksikan lembaran jalinan sejarah serumpun yang selari dari segi sosiobudaya dan jaringan keterikatan, hubungan ketiga-tiga negara terus diperkasa dengan gabungan sumber dan sokongan bersama dalam membentuk pakatan tiga berangkai yang memperkukuh benteng kapasiti mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi serantau yang kian meruncing.
Hubungan ini terus berpotensi untuk menzahirkan pulangan berganda, terutamanya dalam bidang kritikal masa depan yang menuntut pelaburan intensif dalam sektor teknologi, ekonomi digital dan ekonomi hijau.
Ini termasuk sumber baharu, kelestarian rantaian bekalan, kepakaran semikonduktor, jaringan siber dan digital berkapasiti tinggi serta pemerkasaan industri pertahanan dan keselamatan. Semua bidang tersebut akan menjadi parameter kritikal dalam melakar ruang baharu dalam pertalian hubungan ketiga-tiga negara ini.
Dalam situasi saling bergantung ini, Malaysia terus memainkan peranan utama kepada percaturan pulangan strategik kepada Brunei dan Indonesia, di mana kerjasama erat dalam bidang pendidikan, pelancongan dan hubungan sesama masyarakat menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih mendalam dalam bidang lain terutamanya integrasi ketenteraan dan pertahanan.
Langkah itu amat penting kerana ketiga-tiga negara menghadapi ancaman bersama melibatkan pertikaian di Laut China Selatan membabitkan tuntutan China dan tindakan yang diambil negara kuasa besar itu dalam mendominasi tuntutan tersebut.
China telah membuat tuntutan untuk memperluaskan perairannya di Laut China Selatan dengan membuat tanda garisan sembilan sengkang berbentuk U, di mana Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague, Belanda pada 2016 mendapati ia tidak mempunyai asas undang-undang.
Tindakan agresif China itu menuntut kerjasama dan kesepakatan lebih erat melibatkan Brunei-Malaysia-Indonesia dalam mempertingkat tahap pertalian kesepaduan tindak balas dan usaha cegah rintang dalam menghadapi ancaman sama.
Pada masa sekarang, setiap negara mengambil langkah secara bersendirian seperti Indonesia yang dilihat bertindak secara konfrontasi dalam melindungi kepentingan dan kedaulatan di Laut Natuna Utara dalam menghadapi ancaman dan tindakan China.
Pada awal Januari lalu, Indonesia mengerahkan sebuah kapal perang, pesawat peronda maritim dan dron ke Laut Natuna Utara untuk memantau kapal pengawal pantai China yang berada di kawasan perairan yang dituntut kedua-kedua negara berkenaan.
Walaupun kapal China terbabit tidak melakukan sebarang aktiviti yang mencurigakan, ia menimbulkan kegusaran kerana berada di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Indonesia bagi tempoh agak lama. Brunei juga mempunyai kegusaran sama untuk menghadapi tuntutan China di Laut China Selatan yang berpotensi untuk mengancam aset minyak dan gas yang memacu ekonominya.
Negara itu sedar sebarang tindakan dan cegah rintang yang dilakukan berpotensi untuk menimbulkan tindak balas serta reaksi negatif Beijing yang berisiko untuk mengundang kesan ketara secara berangkai yang lebih mengancam kepentingan Brunei dalam jangka masa panjang.
Berikutan kapasiti kuasa ketenteraan dan geopolitik yang secara relatifnya lebih rendah berbanding China dan negara jiran lain, Brunei terus melipatgandakan usaha dengan sandaran kepada ASEAN dan Malaysia sebagai penyokong utama. – UTUSAN
COLLINS CHONG YEW KEAT, Universiti Malaya (UM)