Susahnya nak tembusi talian pediatrik HTA, sibuk sangatkah?

Susahnya nak tembusi talian pediatrik HTA, sibuk sangatkah?

IBU bapa berdepan kesukaran menetapkan tarikh janji temu dengan pakar kanak-kanak di Hospital Tunku Azizah (HTA) ekoran panggilan telefon tidak berjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini, saya disaran oleh doktor di sebuah klinik kesihatan (KK) untuk mendapat pemeriksaan lanjut ekoran anak yang kini berusia dua tahun sembilan bulan masih lagi tidak dapat membina ayat dan kurang hubungan mata (eye contact).

Doktor berkenaan khuatir tentang tahap perkembangan anak saya memandangkan dia mempunyai gejala autistik dan memerlukan rawatan serta tindakan awal.

Jadi, saya meminta doktor berkenaan membuat surat rujukan kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur.

Pada 9 Disember lalu, saya sendiri pergi ke HTA untuk mendapatkan tarikh janji temu selepas berputus asa menghubungi bahagian pediatrik bagi bertanyakan prosedur rawatan dan ujian saringan. Saya cuba menghubungi bahagian tersebut hampir dua bulan dan panggilan sentiasa tidak diangkat selepas operator menyambungkan kepada bahagian pediatrik. Mustahillah semua pegawai sibuk dalam satu-satu masa.

Apabila tiba di sana, keberadaan saya ditegur dan diminta pula menyerahkan kertas prosedur operasi standard (SOP) kepada doktor di KK semula. Menurut mereka, ibu bapa tidak perlu hadir untuk menetapkan tarikh janji temu sebaliknya perlu diuruskan oleh doktor di KK.

Saya difahamkan, doktor di KK perlu berurusan dengan doktor di HTA untuk berbincang mengenai perkembangan anak sebelum tarikh janji temu diberi kepada ibu bapa.

Sehingga kini, sudah tiga kali doktor di KK menghubungi saya menyatakan masih gagal menghubungi doktor di HTA. Saya tidak menyalahkan doktor di KK memandangkan saya juga menghadapi masalah kesukaran sama untuk menembusi talian berkenaan.

Jika terus begini, bila agaknya saya boleh mendapat tarikh janji temu dengan pakar kanak-kanak? Bila pula saya perlu membawa anak membuat rawatan susulan dan terapi? Masa terus berjalan tiada henti. Berapa lama perlu menunggu?

Saya amat kecewa dengan cara kerja pihak HTA sedangkan unit tersebut amat penting dan memerlukan pengurusan yang cekap kerana berdepan dengan pelanggan.

Jadi, tolonglah Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pantau dan bantu menyelesaikan masalah ini segera. Sistem yang ada sekarang rumit dan menyukarkan banyak pihak.

Saya percaya, bukan saya seorang sahaja berdepan kerumitan ini tetapi ramai lagi ibu bapa yang tidak bersuara, sebaliknya lebih memilih ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan bagi anak mereka.-UTUSAN

ZULI
Cheras, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya