SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui ramalan bahawa dunia bakal berhadapan kemelesetan ekonomi pada tahun ini. Ini ekoran peningkatan kos pinjaman yang dikatakan sebagai salah satu usaha menangani inflasi.
Pelbagai insiden global dan domestik yang berlaku sekarang memperlihatkan kebenaran kepada ramalan tersebut.
Apabila sektor awam berhadapan situasi kemelesetan ekonomi yang menyebabkan berlaku kekurangan sumber di setiap peringkat dan sektor, pelaksanaan aktiviti dan tugasan harian perlu melibatkan kreativiti.
Ini bagi membolehkan proses yang kompleks dapat dipermudahkan sesuai dengan keadaan semasa selain boleh menjimatkan kos. Antaranya, urusan yang sebelum ini dilakukan secara fizikal di kaunter-kaunter dan pejabat kerajaan, kini boleh dilaksanakan secara maya atau dalam talian.
Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos tetapi boleh menjimatkan masa kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan orang awam.
Penekanan kepada aspek pengurusan bakat berasaskan kompetensi juga boleh diaplikasikan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan sektor awam dalam mendepani cabaran situasi dunia yang bergejolak, tidak pasti, kompleks dan kabur (VUCA).
Selain itu, menjadi tanggungjawab kepimpinan sektor awam untuk menyelidik isu-isu yang membataskan ruang kreativiti di bawah jabatan masing-masing. Pembudayaan kerja multitasking (kebolehan berbilang tugas) juga dapat mendorong penjawat awam mengubah cara berfikir untuk menghasilkan produk baharu atau perkhidmatan kreatif.
Pemimpin sektor awam juga seharusnya tidak membiarkan organisasi menjadi tempat tunggangan mereka yang berprestasi rendah.
Acap kali kita dengar penjawat awam yang bermasalah sentiasa bernasib baik apabila terlepas daripada ditamatkan perkhidmatan kerana pandai mencari ruang untuk menyelamatkan diri.
Situasi ini memberi persepsi negatif kepada keseluruhan sektor awam. – UTUSAN
SITI AINUN MARDIAH JAMALUDIN dan MOHD. RAFIZI RAHMAD, Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD)