SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK laporan Utusan Malaysia pada 19 Februari lalu mengenai desakan pembeli projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Seremban Sentral, Negeri Sembilan supaya pihak pemaju menyerahkan segera kunci rumah kepada pemilik.
Sebenarnya status kemajuan pembangunan terkini projek terbabit setakat 13 Februari lalu adalah sebanyak 99.54 peratus. Buat masa ini, kerja-kerja fizikal bagi unit rumah telah siap sepenuhnya dan sedang dalam proses pemeriksaan serta pembaikan kecacatan bangunan.
Baki kerja pula adalah tertumpu kepada penyiapan infrastruktur luaran seperti kolam takungan air, jalan, paip retikulasi air, pemasangan kabel elektrik dan pengindahan Sungai Temiang.
Masalah kekurangan pekerja turut dialami kontraktor untuk Residensi Seremban Sentral, iaitu Brunsfield Engineering Sdn. Bhd. (Brunsfield). Brunsfield memberi jaminan bahawa masalah kekurangan tenaga pekerja akan dapat diatasi dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, perjumpaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi teknikal utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) serta Indah Water Konsortium (IWK) untuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan kelulusan sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sedang giat dijalankan.
Oleh itu, tarikh jangkaan siap bagi projek Residensi Seremban Sentral dilanjutkan ke suku kedua dari suku pertama tahun ini dengan usaha mendapat kerjasama yang baik daripada PBT dan agensi teknikal terlibat semasa proses CCC berjalan.
Di samping itu, Perbadanan PR1MA Malaysia telah mengambil maklum akan bebanan pembayaran pinjaman perumahan yang terpaksa dihadapi oleh pengadu.
Sehingga 30 Jun akan datang, sebanyak 141 pembeli layak menerima ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) melibatkan pembayaran lebih RM1.3 juta.
LAD ini akan dibayar kepada para penerima selepas serahan milikan kosong yang dijangka pada 30 Jun ini seperti diperuntukkan di bawah klausa 26(2) perjanjian jual beli. – UTUSAN
PERBADANAN PR1MA MALAYSIA, Petaling Jaya, Selangor