SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya berpeluang berjumpa dengan sekumpulan ahli persatuan yang mengendalikan perbincangan melibatkan masalah dan cabaran dihadapi pengusaha logistik kecil dan sederhana yang berputih mata dengan situasi perniagaan mereka, lebih-lebih lagi selepas fasa pasca Covid-19.
Mereka merupakan ahli Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung Malaysia (PULSE).
Presidennya, S. Puvanesvary berkata, rata-rata pengusaha dan pengendali perniagaan logistik kecil dan sederhana berdepan pelbagai cabaran sehinggakan ramai yang memilih untuk meninggalkan perusahaan ini atas sebab tidak mampu atau terjerat dengan masalah kewangan.
Isu melibatkan kenaikan harga bekalan seperti alat ganti automotif sekitar 20 hingga 30 peratus menekan pengusaha logistik daripada terus kekal. Kami cuba bawa perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengkaji dan dapatkan solusi sepatutnya.
Perusahaan kecil dan sederhana (IKS) merupakan nadi ekonomi negara. Walaupun mereka majoriti tetapi suara mereka kecil atau berpecah. Oleh itu, PULSE mahu menjadi tempatu ntuk mengumpul masalah dan disampaikan secara kolektif kepada pihak berkuasa agar mempunyai impak lebih besar.
Di samping itu, PULSE mahu menganjurkan pelbagai latihan dalam pelbagai bidang termasuk operasi, kewangan, pengurusan dan sebagainya yang menepati kehendak industri logistik.
PULSE melabur dalam laman web fungsian untuk menyenarai dan mempromosi khidmat logistik yang ditawarkan. Ia akan meliputi lokasi, jenis lori atau trak dan maklumat berguna untuk keperluan pelanggan. Ini akan memberi peluang niaga yang lebih luas.
Menyedari kapasiti pengusaha logistik kecil dan sederhana, PULSE bakal menubuhkan pasukan guaman untuk memberi nasihat perundangan dan mewujudkan syarat piawaian latihan bagi melindungi usahawan terhadap isu berkaitan perundangan dan ketidakpatuhan yang lazim menjadi cabaran besar.
Bahkan mahu memperkasa kerjaya pemandu lori sebagai satu profesion yang mempunyai prospek untuk berkembang.
Kami mahu pemandu diberi peluang pembangunan kerjaya agar mereka boleh dinaikkan pangkat seperti penyelia dan pengurus atau diserap ke bahagian lain seperti mekanik, juruteknik dan sebagainya.
Justeru, PULSE sedang berbincang dengan institusi untuk memperkenalkan modul pembangunan kerjaya kepada pemandu.
PULSE juga mahu mewujudkan inisiatif pemandu berkaliber dan profesional agar pemandu lebih peka dan akur kepada undang-undang jalan raya dan pemanduan.-UTUSAN
NIZHA PERIASWAMY
Selangor