Penyampai berita TV perlu pastikan penonton ‘melekat’ - Utusan Malaysia

Penyampai berita TV perlu pastikan penonton ‘melekat’

DIHARAPKAN dapat dilahirkan lebih ramai penyampai berita sehebat Datuk Harjit Singh Hullon yang telah bersara dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2011.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK sekian lama, penyampaian berita di kaca televisyen tidak banyak berubah. Penyampai berita akan melangkah masuk ke ‘gelanggang’ dengan memperagakan pakaian ditaja.

Sambil berdiri, dia akan mengucapkan salam dan membaca tajuk utama berita. Dengan muzik iringan dan paparan montaj, dia kemudian mengambil tempat duduk untuk membaca berita penuh sama ada secara bersendirian mahupun berpasangan. Ataupun sebaliknya, yakni duduk dahulu dan berdiri kemudian.

Ketika duduk untuk menyampaikan berita itulah, penonton dapat perhatikan kejanggalan sesetengah penyampai berita yang badannya seakan-akan terikat di kerusi dan tangannya diikat di meja.

Tubuhnya seperti kaku dan matanya tajam memandang ke hadapan. Dia membaca tulisan yang terpampang di hadapannya dalam ketakutan dengan nada mendatar, seolah-olah mangsa culik yang sedang membaca arahan permintaan wang tebusan daripada penculik.

Tempoh 10 minit pertama merupakan masa yang kritikal untuk memastikan agar penonton terus kekal memberi perhatian kepada penyampai.

Jika di awal siaran berita, para penonton sudah tukar ke siaran lain, apa yang ingin dibanggakan sangat dengan penarafan lima juta orang menonton siaran berita perdana stesen televisyen tersebut kalau orang ramai hanya menonton sekadar dua minit?

Sebenarnya, penyampai berita tidak perlu cantik atau kacak. Penonton inginkan maklumat terkini, tepat dan padat, bukannya hendak menilai rupa paras dan pakaian penyampai berita. Ramai lagi di luar sana yang bakatnya mengatasi rupa parasnya.

Penyampaian berita televisyen memerlukan kreativiti dan inovasi baharu untuk menarik perhatian penonton supaya ‘melekat’ menonton berita dari mula hingga ke akhir siaran.

Penyampai tidak semestinya duduk di atas kerusi di belakang meja sambil membaca berita. Kalau terlalu lama memang terasa lenguh.

Sesekali dia harus turun ke bawah membaca berita sambil bergerak dan berinteraksi dengan penonton di rumah dengan pergerakan tangan, badan serta mimik mukanya tanpa perlu melihat kepada iPad atau gajet mudah alih lain.

Barulah mata penonton pun akan turut sama bergerak dan tidak rasa mengantuk. Keadaan itu memerlukan kreativiti penerbit, bagaimana hendak memaparkan tulisan berita itu bagi membolehkan penyampai berita terus membaca berita tanpa gangguan kerana pergerakan tersebut. Lainlah kalau penyampai berita mempunyai memori fotografik.

Mungkin boleh dicuba siaran berita secara interaktif di mana penonton dapat melontarkan pandangan terhadap sesuatu berita pada paparan kecil di skrin televisyen.

Sebutan nama orang dan nama tempat di luar negara pun mesti betul. Jangan sebut nama Jose dan Cincinnati menggunakan bahasa baku. Perkataan ‘anakanda’ mesti disebut secara keseluruhan sebagai satu perkataan, bukannya disebut sebagai ‘anak anda’ mahupun ‘ana kanda.’

Siaran berita juga mestilah penuh dengan berita selama tempoh ia ke udara tanpa sebarang iklan. Anggaplah ia sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) stesen televisyen kepada rakyat.

Jika penyampai ingin berehat sebentar, siarkan suasana dalam bilik berita itu sendiri. Penonton ingin juga melihat rupa paras penerbit, jurukamera, jurusolek, pemegang mikrofon dan kakitangan lain di belakang tabir.

Selain itu, kalau boleh, stesen televisyen jangan buat pengakuan bahawa berita yang disampaikan adalah paling sahih dan benar sebenar-benarnya. Berita dari mulut ke mulut sukar dipastikan kebenarannya 100 peratus. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya