SAUDARA PENGARANG,
KELAPA sawit adalah tanaman minyak sayuran yang paling produktif berbanding tanaman minyak lain (seperti kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi atau canola) kerana ia menghasilkan sehingga empat tan minyak setiap hektar setahun.
Bagaimanapun, terdapat banyak salah tanggapan tentang manfaat kesihatan minyak sawit, antaranya ialah minyak sawit hanya terdiri daripada lemak tepu, justeru mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan manusia.
Sebenarnya minyak sawit mempunyai nisbah asid lemak yang seimbang. Ia terdiri daripada 50 peratus lemak tepu (asid palmitik dan asid stearik) dan 50 peratus lemak tak tepu (asid oleik dan asid linoleik atau masing-masing dikenali sebagai asid lemak Omega-9 dan Omega-6).
Tambahan lagi, minyak sawit mengandungi banyak fitonutrien yang menyihatkan seperti tokotrienol vitamin E, provitamin A (juga dikenali sebagai karotenoid), fitosterol, koenzim Q10 dan lain-lain lagi. Ini adalah antioksidan yang berkesan dan boleh membantu dalam pencegahan penyakit.
Karotenoid dan minyak sawit merah (RPO) minyak sawit mentah (CPO) adalah sumber tumbuhan semula jadi yang paling kaya dengan provitamin A karotenoid yang merangkumi alfa dan beta-karotena. Karotenoid inilah yang memberikan warna merah jingga kepada minyak sawit mentah.
Lagipun, minyak sawit yang berasal daripada tumbuhan adalah bebas kolesterol serta sumber tenaga yang sangat baik yang boleh meningkatkan HDL (lipoprotein berketumpatan tinggi) atau kolesterol ‘baik’ yang bermanfaat.
Akhir sekali, terdapat keperluan untuk menyangkal dakwaan bahawa minyak sawit menyebabkan kanser kerana kandungan asid palmitiknya yang tinggi.
Sebenarnya, minyak sawit adalah alternatif yang lebih sihat berbanding lemak separa terhidrogenasi. Di antara pelbagai sumber lemak, minyak sawit dianggap sebagai pilihan utama restoran dan pengeluar makanan kerana kepelbagaian pengunaannya.
Untuk mengatasi pelbagai salah tanggapan mengenai minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah melancarkan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan pada Januari lalu.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus menyokong kempen ini dan membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang faedah minyak sawit.
Saya sangat percaya kepada semua perkara semula jadi dan faedah minyak sawit tidak terkira banyaknya, memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan dunia untuk minyak dan lemak. Usah pedulikan pihak Barat. Biarkan pihak Barat terjun dengan labu-labunya.-UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang