SAUDARA PENGARANG,
HAMPIR semua orang mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Media sosial ini memainkan peranan penting bagi masyarakat dan ia tidak terkecuali kepada golongan pelajar. Peristiwa pandemik Covid-19 telah meningkatkan pergantungan pelajar pada teknologi yang membuatkan platform e-pembelajaran terus meningkat terutama dalam media sosial.
Sebilangan besar masyarakat percaya bahawa media sosial merupakan satu bentuk gangguan besar kepada pelajar. Namun, rangkaian platform tersebut mempunyai keupayaan untuk membantu pelajar dalam meningkatkan proses pembelajaran mereka.
Melalui platform digital itu, pelajar lebih mudah mengakses segala maklumat yang diperlukan hanya menggunakan internet dan peranti elektronik. Kewujudan media baharu mampu membantu pelajar mengakses pelbagai maklumat dalam aplikasi seperti, WhatsApp, Telegram, TikTok dan YouTube.
Selain itu, media sosial menjadi sumber tambahan bagi pelajar dalam pembelajaran. Pelajar boleh mendapatkan maklumat tambahan berkaitan subjek dan topik yang mereka pelajari dalam kuliah.
Seterusnya dapat berkongsi maklumat. Pelajar dapat berinteraksi dengan pelajar lain di media sosial dan berkongsi pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang mereka pelajari. Mereka juga mampu belajar lebih banyak daripada orang yang berfikiran sama.
Media sosial juga membantu dalam proses penyelidikan. Pelajar dapat melaksanakan projek dan tugasan yang diberikan. Hal ini dapat membantu pelajar mengumpul maklumat dan menghasilkan kandungan yang berguna dalam penyelidikan mereka.
Akhir sekali, platform itu dapat membantu dalam pembelajaran jarak jauh. Pelajar dapat menghadiri kuliah secara langsung dengan mengakses aplikasi seperti Skype, Zoom dan Google Meet. Mereka dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dengan mudah walaupun jauh.-UTUSAN
ATHIRAH UMAIRAH ABDUL JALIL
Universiti Sains Islam Malaysia