SAUDARA PENGARANG,
PENGHUNI pangsapuri Seksyen 8, Shah Alam, Selangor berasa hairan kerana aduan mereka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang jalan rosak dan berlopak sejak beberapa bulan lalu tidak dihiraukan.
Mereka gelisah kerana laluan utama menuju ke pangsapuri tersebut, iaitu Jalan Liku 8/1 sudah berbulan-bulan lamanya rosak. Saya pergi sendiri ke lokasi berkenaan serta merakam gambar sebelum membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Aduan dibuat menerusi e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam pada 19 Januari lalu dengan salinan dihantar kepada Timbalan Datuk Bandar, Timbalan Setiausaha Pembangunan, Pemangku Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam serta Bahagian Aduan MBSA.
Saya juga juga menghantar ciapan aduan kepada Twitter Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, @AmirudinShari pada 1 Februari lalu. Ciapan tersebut juga disalinkan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, @azliby dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, @NajwanHalimi.
Untuk rekod, saya membuat tindakan susulan kepada MBSA pada 31 Januari dan 7 Februari lalu. Pun begitu, masih tiada apa-apa tindakan diambil. Sehingga aduan ini ditulis, MBSA masih belum lagi mengambil apa-apa tindakan positif.
Moga dengan tersiarnya aduan dalam ruangan ini, MBSA dapat membaik pulih jalan yang rosak dan berlopak di kawasan pangsapuri Seksyen 8 dengan kadar segera. – UTUSAN
HJ. KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor