SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN pelonggaran dasar sifar Covid-19, China membuka sempadan negaranya pada 8 Januari lalu setelah tiga tahun sekatan dilaksanakan. Hal ini disebabkan tekanan ekonomi dihadapi oleh China selain protes besar-besaran oleh rakyat mereka di seluruh negara.
Tindakan hina menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia ekoran keputusan tersebut diambil ketika negara berkenaan masih berhadapan dengan peningkatan drastik penularan Covid-19.
Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974 banyak membangunkan ekonomi kedua-dua negara terutama Malaysia sama ada dari aspek pelaburan langsung asing (FDI), nilai perdagangan dan kedatangan pelancong ke negara ini.
China kekal menjadi negara utama menyumbang kepada FDI di Malaysia untuk tiga tahun terakhir dengan nilai besar, iaitu sebanyak RM15.3 bilion (2019), RM18.1 bilion (2020) dan RM16.6 bilion (2021) walaupun dunia berdepan pandemik.
Dari sudut pandang perdagangan pula, China merupakan rakan dagang terbesar selama 13 tahun berturut-turut bermula 2009. Namun, sepanjang 2022, negara itu mengalami penguncupan pada bulan-bulan tertentu.
Justeru, kerajaan perlu mengambil peluang memaksimumkan China sebagai rakan dagang utama negara. Satu kredit kepada kerajaan terdahulu yang segera mempelbagaikan sumber dagangan bagi mengurangkan kesan apabila rantaian bekalan global terputus berikutan pelaksanaan dasar sifar Covid-19 oleh China.
Dari perspektif pelancongan, walaupun Malaysia mengalami penurunan mendadak (83.4%) kedatangan pelancong bagi 2020 (4.3 juta) berbanding 2019 (26.1 juta), pelancong dari China konsisten menjadi antara tiga penyumbang utama kepada hasil pelancongan negara ini selain Singapura dan Indonesia.
Maka tidak pelik jika Menteri Pelancongan menyasarkan seramai lima juta pelancong dari China akan memasuki Malaysia selepas pembukaan sempadan negara tersebut.
Justeru, kepentingan sektor ekonomi dan kesihatan seharusnya bergerak seiring tanpa menggadaikan salah satunya.
Oleh itu, kerajaan perlu menerangkan polisi-polisi keselamatan dengan menerima kedatangan pelancong China selain menjelaskan kepentingan ekonomi negara kepada rakyat.
Di samping itu, kerajaan juga seharusnya menyediakan garis panduan jelas kepada pekerja industri penerbangan yang merupakan sektor utama dalam menerima pelancong China. Kerajaan wajar bertindak bijak dan mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.-UTUSAN
SUZANA YUSOF & ASYRAF SALLEH
Felow Penyelidik Institut Integriti & Strategik
Terengganu (TSIS)