SAUDARA PENGARANG,
PADA 2019, Institut Confucius (IC) yang merupakan pusat bahasa dan kebudayaan didukung oleh kerajaan China tiba-tiba telah diperintah tutup di seluruh Amerika Syarikat (AS) oleh Jabatan Negara.
Ia disusuli tindakan sama pada 2021 oleh United Kingdom. Sebelum itu, beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak menutup IC antaranya Belgium (2019), Sweden dan Denmark (2020 ) serta Norway (2021).
Tindakan negara-negara Barat ini tentu mengejutkan banyak pihak kerana sehingga 2019 terdapat 530 IC di seluruh dunia. Di AS sahaja sebelum itu terdapat 118 buah manakala di EU (190).
Di Malaysia, IC ditubuhkan di Universiti Malaya pada 2009, Universiti SEGi pada 2015, Universiti Malaysia Pahang pada 2019, Kolej Universiti Teknologi Sarawak pada 2020 dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2019.
Persoalannya kenapa IC ditutup? Adakah ia mengancam AS dan sekutunya? Penutupan IC ini disebabkan oleh sentimen anti-China di Barat dan dalam kalangan kerajaan dan orang awam di negara-negara terbabit.
Mereka melihat IC bukan sebagai badan akademik tetapi alat propaganda Parti Komunis China (PKC) yang mengehadkan apa yang boleh dibincangkan oleh pihak pelajar dan ahli akademik. Hal ini jelas bertentangan dengan kebebasan akademik yang diamalkan di Barat.
IC dikendalikan oleh Majlis Antarabangsa Pejabat Bahasa China (Hanban). Biasanya program IC dibuat dengan kerjasama pusat pengajian tinggi sesebuah wilayah atau bandar China dengan universiti luar.
Meskipun, ahli falsafah tersohor China, Confucius ditolak oleh pemimpin PKC, Mao Zedong terutama sewaktu Revolusi Kebudayaan kerana figura ini tercalit dengan tradisi meritokrasi-feudalisme, namun pada 1980-an, China akhirnya mengubah pendirian apabila menyedari pentingnya Confucius dalam mendepani dunia Barat.
Pada 2007, seorang pemimpin tertinggi China, Li Changchun menegaskankan bahawa IC adalah bahagian penting dalam struktur strategi propaganda luar PKC.
Dalam konteks Malaysia, negara ini tidak memerlukan IC yang berperanan sebagai pusat bahasa dan kebudayaan kerana boleh dikatakan semua sekolah Cina di Malaysia menggunakan bahasa Mandarin sebagai pengantar.
Jadi siapakah sasaran IC di negara ini? Adakah etnik Cina Malaysia? Atau kaum Melayu dan India agar mereka boleh menguasai bahasa Mandarin dengan baik?
Di UMS, program IC menawarkan pengajaran bahasa Mandarin, mengenal kebudayaan China dan IC juga mengendalikan peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) dari tahap satu hingga enam.
IC turut juga menyediakan biasiswa dari sebulan hingga dua tahun untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang bahasa Mandarin bagi penutur bukan China di negara itu.
Meskipun, IC di Malaysia masih sedikit iaitu cuma lima buah sahaja, tidak salah kita bersikap berhati-hati. Kita perlu sekurang-kurangnya meniru Jepun yang tidak mengikut telunjuk AS untuk menutupnya dan masih mengekalkan 14 IC yang ada di negara itu.
Namun, Jepun menekankan perlu ada ketelusan dalam apa jua aktiviti yang dijalankan universiti-universiti di Jepun dalam kolaborasi mereka dengan pihak luar.
Diharapkan tiada sebarang unsur luar yang mengarah dan mengambil kesempatan dari kolaborasi dibuat dengan universiti negara ini untuk mengadu domba rakyat Malaysia demi kepentingan nasional mereka. – UTUSAN
PROFESOR MADYA WAN SHAWALUDDIN WAN HASSAN, Universiti Malaysia Sabah (UMS)