SAUDARA PENGARANG,
SATU perkembangan yang berlaku di Kelantan kini ialah apabila semakin banyak kedai runcit milik warga Pakistan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimana kedai-kedai ini boleh wujud dengan begitu banyak sekali? Bahkan difahamkan kesemua premis ini boleh dikatakan milik warga Pakistan.
Penambahan penduduk warga Pakistan disebabkan perkahwinan dengan rakyat tempatan. Ini memberi lampu hijau kepada mereka untuk mendaftarkan perniagaan atas nama isteri. Tindakan ini jelas menunjukkan golongan tersebut telah menyalahgunakan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan di negara ini.
Bagaimana pula dengan peranan pihak majlis perbandaran yang dilihat seperti lepas tangan? Adakah mereka tidak menyedari kewujudan kedai-kedai ini sedangkan ia perlu didaftarkan kepada pihak majlis perbandaran?
Terdapat dalam kalangan pemilik perniagaan menggunakan perkhidmatan pekerja tempatan secara sepenuh masa. Ramai yang beranggapan kedai-kedai ini merupakan kepunyaan rakyat tempatan walhal ia milik warga Pakistan.
Barang-barang yang dijual pula pada kadar yang tinggi. Namun, penduduk setempat tiada pilihan lain untuk mendapatkan barang keperluan terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan.
Ekoran dimonopoli oleh warga asing menyebabkan orang tempatan khususnya kaum Cina tidak dapat menyewa premis bagi membuka perniagaan. Ia jelas sejak akhir-akhir ini, tidak banyak kedai baharu yang dibuka oleh masyarakat Cina kerana semuanya telah diduduki oleh warga asing khususnya rakyat Pakistan.
Justeru, saya memohon supaya supaya pihak berwajib terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan mengambil perhatian dan tindakan terhadap isu ini yang semakin parah.
Jika berterusan tanpa tindakan tegas, dikhuatiri ekonomi Kelantan akan dimonopoli oleh warga asing yang akhirnya tidak menguntungkan negara.-UTUSAN
WARGA HAMPA
Kota Bharu, Kelantan