SAUDARA PENGARANG,
TULISAN ini saya tujukan kepada pengurusan kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang begitu cakna menyelesaikan permasalahan berbangkit berkaitan industri pengangkutan.
Seperti kita tahu, spesifikasi nombor plat kenderaan yang dibenarkan oleh JPJ terdapat tiga kategori. Pertama, huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau dicetak timbul di atas bingkai hitam.
Kedua, huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau dicetak timbul di atas bingkai berwarna merah bagi kenderaan kedutaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketiga, huruf dan nombor berwarna hitam yang dicetak timbul di atas bingkai berwarna putih bagi teksi atau kereta sewa. Terdapat juga ukuran dan huruf tertentu yang perlu dipatuhi.
Untuk makluman Yang Berhormat Anthony, kini menjadi trend terutama pemilik kenderaan mengubah nombor plat kenderaan seperti merapatkan nombor dan huruf sehingga memberi makna baharu kepada plat kenderaan tersebut.
Sepatutnya nombor dan huruf dijarakkan. Bagi yang terlebih kreatif, mereka turut mengecilkan nombor plat sehingga tidak lagi mematuhi piawaian sebenar.
Saya berharap sudah tiba masanya JPJ dan Kementerian Pengangkutan mengambil perhatian serius berhubung perkara ini kerana ia seolah-olah memberi mesej yang salah.
Lebih parah, ia membawa maksud kerajaan tidak bertegas dengan sikap pemilik kenderaan yang terlebih kreatif.
Perbuatan itu adalah tidak adil kepada pemilik kenderaan lain yang berusaha untuk mematuhi undang-undang ditetapkan bukan sahaja semasa memandu tetapi juga akur kepada tatacara pemasangan nombor plat seperti yang sedang berkuat kuasa.
Saya berharap kerajaan turut bertegas dengan pemilik kedai menjual nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi hingga melanggar peraturan demi mengaut keuntungan.
Pemilik kenderaan pula perlu dikenakan denda bagi mengelak perkara sebegini berulang pada masa-masa akan datang. – UTUSAN
KENDERAAN 4 RODA, Putrajaya