SAUDARA PENGARANG,
CUTI sekolah tiba lagi dan setiap kali itulah ibu bapa atau pihak sekolah berusaha memikirkan aktiviti yang hendak disajikan kepada anak-anak. Apa kata kita lari daripada kebiasaan ini? Selain membetulkan bacaan solat dan mengaji, isikanlah jadual program dengan tugasan berbentuk membangunkan kemahiran kreativiti dan inovasi anak-anak.
Tinggal di kampung atau percutian ala kampung tentunya tidak bosan dengan pelbagai aktiviti luar yang menarik. Tidak kurang juga terdapat rumah inap desa yang menawarkan pakej sajian makanan kampung, persembahan kebudayaan dan permainan tradisional. Kadangkala majlis perkahwinan saudara mara di kampung boleh juga dijadikan tugasan kepada pelajar supaya terlibat aktif, antaranya persembahan kompang dan silat bunga.
Pesta sukan rakyat pula akan menarik minat pelajar jika permainan berunsur tradisi diberi nafas baharu cara pengendaliannya.
Permainan tradisi di luar rumah berbentuk fizikal seperti bermain gasing, wau, galah panjang, baling selipar, tarik upih, ting ting, konda kondi dan sebagainya mampu menggalakkan proses sosialisasi anak-anak di samping mengaktifkan neuron sel-sel otak mereka memikirkan cara kreatif untuk menang mengatasi lawan, mengira mata dan fokus. Kemahiran motor kasar melibatkan permainan menggunakan anggota badan yang besar seperti tangan dan kaki dalam aktiviti-aktiviti merangkak, berjalan, melompat, memanjat, membaling, menangkap, mengejar dan menolak.
Kemahiran motor halus pula dapat ditingkatkan melalui pergerakan anggota badan yang kecil seperti pergelangan tangan dan jari jemari ketika bermain. Ini bermakna permainan tradisi melibatkan pergerakan fizikal dapat menguatkan otot badan dan mencerdaskan minda.
Dalam pada itu, pelajar boleh menggiatkan kemahiran sains pertanian dengan berkebun atau berladang. Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar juga harus dipupuk dalam diri pelajar di peringkat awal proses pendewasaan. Cara menjaga kelestarian alam yang asas adalah dengan menanam pokok. Jadikan rutin tanam sekurang-kurangnya satu pokok dalam jangka waktu tertentu.
Sesungguhnya cuti sekolah akan lebih bermakna dan diwarnai dengan sumber alam sekitar di kampung yang diolah melalui cetusan proses kreativiti. Walaupun permainan tradisi, projek tanaman dan ternakan yang dihasilkan oleh anak-anak kita itu tidak secanggih permainan gajet masa kini, tetapi tetap menyeronokkan serta masa terisi dengan sesuatu nurani yang hidup dan bukan hanya maya.-UTUSAN
NUR HANIM
Dengkil, Selangor