Wajar jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan - Utusan Malaysia

Wajar jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan

PEMIMPIN UMNO perlu muhasabah diri bagi mencari punca kemerosotan sokongan pengundi terhadap parti berkenaan.– UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau tidak mungkin diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas yang akan diadakan sempena Perhimpunan Agung (PAU) 2022 parti itu yang berlangsung dari 11 hingga 14 Januari ini.

Bagi saya, amat wajar kedua-dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan sebagai satu respons kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

UMNO memerlukan kepimpinan baharu untuk membentuk hala tuju dan memberi semangat baharu untuk ahli membina kembali parti yang telah runtuh akibat salah laku pemimpin terdahulu.

Lagipun, Presiden parti masih lagi perlu melalui proses penghakiman di mahkamah dan sudah semestinya fasa pemilihan kali ini akar umbi mahukan pemimpin yang bebas daripada sebarang isu salah laku dan pendakwaan di mahkamah.

Menyekat pemilihan parti dilihat sebagai tidak demokrasi. Jika demikian, kita sendiri mematikan proses demokrasi dan secara tidak langsung membentuk pemerintahan kuku besi dalam parti.

Tiada rakyat yang mahu pemimpin mereka berkelakuan tidak amanah apatah pemimpin yang memimpin 3.1 juta ahli UMNO yang seperti semua rakyat juga mahukan ketua parti yang bersih. UMNO tidak lemah tetapi segelintir pemimpin yang melemahkan parti sehingga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi dalam PRU15.

Jadi, untuk menghadapi pilihan raya akan datang, bagi menarik kembali sokongan pengundi khususnya orang Melayu, UMNO perlukan pemimpin baharu untuk menjenamakan semula parti Melayu itu yang banyak berjasa kepada rakyat.

Akhirnya, pemimpin UMNO perlu muhasabah diri bagi mencari punca kemerosotan sokongan pengundi terhadap parti berkenaan. – UTUSAN

PEMERHATI POLITIK, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya