SAUDARA PENGARANG,
SAYA sebagai penggerak pertubuhan pengguna melihat falsafah pergerakan pengguna di negara ini adalah sekadar untuk mendapat keadilan dalam masalah dan penganiayaan di pasar atau pasar raya.
Ia mungkin berkaitan penipuan yang dilakukan setiap hari dalam penjualan barang-barang bermutu rendah dan barangan tiruan, juga masalah sistematik.
Secara tradisi, perlindungan pengguna tertumpu ke atas masalah barangan tidak selamat, bermutu rendah, jaminan tidak dipenuhi, iklan mengelirukan, penipuan, pemeriksaan harga barangan, meletakkan tanda di kotak atau tin sesuatu barangan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengannya.
Rakyat mesti sedar bahawa demokrasi tidak akan wujud jika sikap sebagai seorang warganegara tidak diamalkan. Jika kita tidak amalkan hak kita, siapa lagi yang akan melakukannya?
Memang tidak dinafikan, persatuan pengguna ditubuhkan untuk membantu orang ramai tetapi mereka tidak boleh membantu dengan sepenuhnya tanpa kerjasama masyarakat.
Masyarakat boleh bertindak demi mencari satu jalan penyelesaian lebih adil, bebas dan demokrasi. Mereka boleh menyelesaikan sesuatu masalah di peringkat tempatan, negeri atau negara jika mempunyai kemahiran dan menjadi ahli kelab, persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara separuh masa.
Mereka boleh menulis surat tentang aduan atau laporan yang diterima untuk tindakan pantas pihak berkaitan.
Selain itu, pergerakan pengguna perlu sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti anjuran kerajaan bagi menaikkan semangat, pupuk perasaan optimis, keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap badan ini.
Apabila terlibat secara langsung dalam kerajaan, pergerakan pengguna juga layak untuk turut serta dalam pelaksanaan serta penggubalan dasar atau undang-undang berkaitan kepenggunaan. Ia sekali gus memudahkan pegawai atau ahli memahami dan memberi penerangan kepada orang ramai berkaitan sesuatu isu.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan