SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya bersama sekumpulan warga emas dan pasangan masing-masing berkunjung ke Pulau Pinang untuk jalan-jalan sambil cari makan.
Apa yang kurang menyenangkan kami ketika berkunjung ke Medan Selera Padang Kota Lama adalah ‘penyambut-penyambut’ tetamu di situ seolah-olah berebut untuk mendapatkan pelanggan hingga seperti hendak berkelahi sesama mereka.
Setelah duduk di meja yang kami pilih, atas meja penuh dengan sisa-sisa makanan dan tumpahan kuah, tiada siapa pun yang membersihkannya.
Difahamkan para petugas itu tidak akan membersih meja tersebut sehingga mereka pastikan para pelanggan membuat tempahan makanan jualan mereka.
Di sini saya ingin menyarankan kepada pihak pengurusan medan selera tersebut supaya mengupah pekerja-pekerja khusus untuk membersih kerusi dan meja selepas selesai para pelanggan makan.
Mereka boleh mengutip sejumlah wang tertentu daripada para pemilik gerai makanan dan minuman untuk mengupah pekerja-pekerja berkenaan.
Dengan pendapatan begitu banyak kerana medan selera itu menjadi tumpuan ramai pelanggan, saya yakin para peniaga tidak keberatan untuk memberi sumbangan.
Sementara itu, ada dalam kalangan anggota rombongan kami yang bersungut susah hendak membeli makanan atau minuman di gerai jualan kerana setengah jurujual kurang faham percakapan bahasa Melayu.
Selepas menjamu selera, sebagai golongan warga emas, kami perlu pergi ke tandas yang disediakan di medan selera tersebut.
Saya puji kadar bayaran yang dikenakan untuk menggunakan tandas di situ cukup murah iaitu hanya 20 sen seorang.
Tetapi apabila masuk ke dalam tandas tersebut, didapati para pengunjung terpaksa berbaris panjang.
Ini disebabkan jumlah tandas yang ada hanya lima, tidak mampu untuk menampung ratusan pengunjung yang datang ke medan selera berkenaan. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis