SAUDARA PENGARANG,
SEMENJAK bekas pengendali Penang FC, Tomas Trucha dipecat susulan dakwaan prestasi hambar yang dipamerkan kelab itu sejak saingan Liga Super Malaysia membuka tirai Mac tahun lalu, saya sudah hilang keyakinan terhadap pengurusan dan pemain kelab bola sepak ini.
Walaupun bertukar-tukar ketua jurulatih, namun Penang FC masih belum menunjukkan tahap kemajuan yang memberangsangkan apatah lagi untuk mencapai keputusan terbaik dalam Piala Malaysia.
Masalah tersebut telah pun saya adukan kepada salah seorang exco kerajaan negeri dengan tujuan dapat diberikan perhatian serius bagi menangani kemerosotan dan kegelapan sukan bola sepak Pulau Mutiara yakni Penang FC.
Jika boleh, kerajaan negeri dapat menyokong dan membantu mengurangkan beban perbelanjaan seperti menggajikan pemain atau yang berkaitan dengan urusan Kelab Penang FC. Hal ini lebih baik daripada mereka terlalu bergantung kepada hasil jualan tiket semata-mata. Sedangkan jika hendak dikira-kira, kita dapat bayangkan banyak manalah sangat isi kantungnya.
Selain itu, saya menggesa exco sukan negeri ini tidak lepas tangan dengan membiarkan bola sepak Pulau Mutiara terus berada dalam keadaan muram dan hanya sekadar berpuas hati dengan pencapaian di tempat ketiga Liga Super 2020 dan juara Liga Perdana.
Sebaliknya, usaha ke arah meningkatkan kemajuan dan mutu bola sepak Pulau Mutiara harus segera dipergiatkan kerana ia adalah kerugian besar apabila ramai pemain yang mempunyai potensi dan berbakat angkat kaki untuk berhijrah ke negeri lain.
Contohnya, bekas pemain Terengganu FC yang kini merupakan pemain sayap baharu Selangor FC, Faisal Halim dan beberapa pemain dari pelbagai kelab bola sepak telah mewakili skuad kebangsaan. Jadi, tidak salah sekiranya kerajaan negeri turun padang untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan Penang FC terus merudum teruk sehingga kini tiada penyelesaiannya. Majukan sukan bola sepak Pulau Mutiara!-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang