SAUDARA PENGARANG,
AKSI gurauan (prank) pada asalnya banyak berlaku di luar negara, namun kini semakin menjadi perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Gurau senda hanya akan berlaku apabila bersama mereka yang dikenali seperti ahli keluarga mahupun kenalan rapat. Namun, budaya ini adakalanya melampaui batas apabila dikenakan kepada orang yang tidak kenali.
Ramai tidak menyedari guran senda secara melampau boleh memberi kesan kepada mangsa. Ini kerana mereka akan bertindak balas secara emosi seperti marah kerana merasakan dirinya dipermainkan.
Malah, ia juga menjadikan mangsa tidak selesa apabila orang di sekeliling melihat dan mentertawakannya. Mereka secara tidak langsung akan mengalami trauma.
Seperti diketahui umum, anak muda merupakan golongan paling mudah meniru aksi ini akibat terpengaruh dengan apa yang mereka lihat. Sehingga kadang kala perasaan hormat pada orang lain terutama yang lebih tua semakin berkurang kerana menganggap tindakan ini hanyalah sekadar gurauan semata-mata. Jika terus dinormalisasi, aksi sebegini akan menjadi budaya kerana hanya dianggap sebagai hiburan untuk memeriahkan suasana.
Justeru, golongan dewasa yang dianggap sebagai seorang berfikiran matang harus bertanggungjawab dengan menunjukkan sikap yang baik agar menjadi contoh kepada anak-anak muda.
Selain itu, ada kalanya gurau senda berlebihan boleh membawa kepada pergaduhan apabila terdapat salah faham. Pergaduhan mungkin berlaku kerana tidak semua orang boleh menerima usikan sedemikian.
Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan seseorang sakit hati dan menyimpan dendam malah tidak mustahil mangsa gurauan akan membalasnya kembali.
Oleh itu, aksi gurau senda melampau harus dicegah kerana ia hanya akan memberi impak pada generasi muda. Ini kerana golongan mudah bukan sahaja mudah terpengaruh malah cuba meniru tanpa memikirkan kesan dalam setiap tindakan mereka.
Malah, ia tidak boleh dianggap sebagai budaya yang normal dalam masyarakat kerana Malaysia kaya dengan kepelbagaian adat dan sopan-santun. Oleh itu, bergurau perlu ada batasnya demi menjaga keharmonian dan kedamaian serta hubungan silartulrahim yang terjalin tidak terputus.-UTUSAN
NAJWA FARHANA AZIZAN
Fakulti Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)