Perkasa sosioekonomi, pendidikan belia India - Utusan Malaysia

Perkasa sosioekonomi, pendidikan belia India

SEKTOR pertanian mempunyai penglibatan usahawan muda India yang tinggi pada masa kini termasuk tanaman cili.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Menggunakan kesempatan ini, saya ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri agar mempertimbangkan beberapa perkara membabitkan kepentingan masyarakat India untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023 kelak.

Antaranya, penubuhan semula Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India yang berperanan sebagai badan pemantau pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkaitan masyarakat India yang harus dipengerusikan oleh Anwar sendiri.

Penubuhan semula jawatankuasa ini akan membantu kerajaan menyelaras dan mengurus pembangunan sosioekonomi kaum India secara lebih bersasar.

Jawatankuasa itu pernah ditubuhkan sebelum ini, namun timbul pelbagai persoalan dari segi keberkesanannya terutama berkaitan penyelarasan kerjasama membabitkan pelbagai kementerian.

Selain itu, Perdana Menteri diharap meneliti pengoperasian Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Jabatan Perdana Menteri terutama dari aspek pengagihan peruntukan RM100 juta setiap tahun.

Kita semua maklum bahawa sebahagian besar dana yang diperuntukkan sebelum ini diagihkan dalam kalangan pelbagai pertubuhan, persatuan dan syarikat tanpa meneliti impak projek tersebut terhadap kumpulan sasar.

Dalam soal ini, saya dengan rendah diri ingin mencadangkan agar peruntukan MITRA digunakan untuk pemerkasaan masyarakat India secara langsung.

Internet

Misalnya, golongan berpendapatan rendah (B40) kaum itu diberikan subsidi perkhidmatan internet untuk meningkatkan kesinambungan digital mereka.

Inisiatif pembangunan usahawan muda komuniti India dalam pelbagai sektor juga satu lagi aspek yang harus diberi tumpuan.

Saya memohon kerajaan agar menyediakan dana pembangunan keusahawanan bersasar, misalnya melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ini kerana sektor pertanian mempunyai penglibatan usahawan muda India yang tinggi pada masa kini.

Penglibatan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India selaku pemudah cara pasti melancarkan proses usahawan muda mendapatkan dana-dana bantuan melibatkan pelbagai kementerian.

Di samping itu, bantuan-bantuan sedia ada untuk tujuan pembangunan usahawan India seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dengan jumlah peruntukan RM25 juta wajar diteruskan dengan peningkatan dana berbanding tahun-tahun sebelum ini agar lebih ramai usahawan kecil dan sederhana kaum itu menerima manfaat.

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kepada Perdana Menteri supaya memberi tumpuan tambahan pada aspek pendidikan kaum India.

Ini terutama soal peruntukan penyelenggaraan dan pengurusan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), peluang penempatan pelajar kaum India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program matrikulasi dan universiti awam.

Bagi peruntukan penyelenggaraan dan pengurusan SJKT misalnya, jumlah diperuntukkan untuk tujuan tersebut dalam Belanjawan 2023 nanti wajar dinyatakan secara jelas selaras dengan nilai ketelusan yang menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan perpaduan. – UTUSAN

DATUK SIVARAJ CHANDRAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya