SAUDARA PENGARANG,
JOHN Dewey merupakan pakar falsafah dan ahli psikologi yang bertanggungjawab membawa pembaharuan serta memajukan pendidikan moden. Beliau diberi gelaran Bapa Pemodenan Pendidikan yang berperanan penting mengenai pergerakan progresif dalam pendidikan.
Sepanjang hayatnya, Dewey banyak menulis dan mengkritik tentang dunia pendidikan. Beliau berpendapat, pendidikan dan pembelajaran bukan hanya tertakluk dalam konteks antara guru dan pelajar, malah jauh lebih besar daripada itu.
Antara sumbangan pentingnya dalam pembentukan dunia pendidikan ialah sekolah menjadi institusi sosial yang boleh dan harus berfungsi untuk menggalakkan provokasi dalam kalangan murid serta membentuk masyarakat lebih baik.
Beliau juga mencadangkan pengajaran dan pembelajaran berlaku secara dua hala serta melalui perbuatan.
Dewey menyangkal sistem persekolahan yang terlalu bertunjangkan kurikulum sehingga tidak mampu melahirkan murid yang aktif dan bijak pada masa hadapan.
Beliau turut percaya sekiranya sistem yang terlalu tertumpu kepada murid dan pengalaman mereka juga memudaratkan proses pembelajaran.
Sumbangan beliau seterusnya adalah pengenalan kepada pembelajaran berasaskan masalah yang sangat popular dalam dunia pendidikan moden sebagai pengganti kaedah pembelajaran tradisional.
Pembelajaran ini mendorong mewujudkan pembelajaran secara langsung dan interaktif kerana melalui interaksi terhadap benda-benda semula jadi membolehkan murid belajar dengan sebaik-baiknya berbanding pemikiran secara abstrak atau menerima bulat-bulat pembelajaran dilaksanakan secara satu hala.
Sementara teori pembelajaran berasaskan pengalaman menyediakan sebuah model pembelajaran yang holistik dan model multidimensi untuk perkembangan remaja selaras ke arah pembinaan tentang cara individu belajar, membesar dan berkembang.
Pemikiran Dewey kebanyakannya mengenai pendidikan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Namun, dunia hari ini masih belajar daripada penulisannya serta mengaplikasikan dan merealisasikan falsafah beliau dalam dunia pendidikan moden.
Teknologi dan masyarakat bergerak begitu pantas sehingga mendesak masyarakat untuk sentiasa mengejar kemahiran teknikal yang diperlukan. Kemahiran multidimensi perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah agar murid terbiasa dengan pendedahan teknologi-teknologi baharu yang berkembang pesat.
Ini kerana jika murid hanya diajar tentang kemahiran teknikal yang diperlukan, dikhuatiri apabila tiba masa menggunakan kemahiran tersebut, sesetengah akan usang sebelum murid itu meninggalkan sekolah.
Falsafah pendidikan Dewey menggalakkan pembelajaran berterusan berpaksikan pandangan psikologi mengenai keupayaan, minat dan tabiat individu. Ini membolehkan individu tersebut untuk terus belajar dan mampu mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang diceburi.-UTUSAN
ANIM ZALINA AZIZAN
Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)