SAUDARA PENGARANG,
BANJIR besar yang berlaku pada awal 2022 dan terbaharu pada bulan lalu boleh diibaratkan seperti ‘rutin tahunan’ terutama bagi negeri Pantai Timur yang menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan kediaman.
Tidak terkecuali bencana sama berlaku di Kedah, Selangor, Johor dan beberapa negeri lain.
Sungguhpun jika diperhatikan banjir yang terjadi pada 2021 melibatkan kediaman yang di bina terlalu hampir dengan sungai. Persoalannya, adakah tanah yang didiami itu merupakan tanah milik kerajaan atau milik persendirian secara sah?
Sekiranya di miliki secara sah sama ada melalui geran atau surat hak milik tanah atau Lesen Pendudukan Sementara (LPS), mungkinkah sempadan tanah berkenaan telah melangkaui sempadan rizab sungai? Ini kerana didapati sesetengah rumah atau struktur bangunan yang musnah di landa banjir berada betul-betul di pinggiran sungai atau sebahagian tiang rumah berada di dalam sungai.
Jadi, adakah undang-undang tanah dan undang-undang lain atau peraturan yang berkaitan dengan tanah membenarkan tanah kerajaan terutama di atas rizab sungai boleh menjadi milik orang awam? Adakah pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri tidak mempunyai undang-undang atau peraturan mengenai perkara ini?
Sekiranya sudah wujud undang-undang tertentu bahawa sungai dan tanah rizab tidak boleh di dipindak milik kepada orang awam sudah pasti ia menjadi kesalahan apabila mendiami tanah kerajaan tanpa izin. Jika ia berlaku, maka ini bermakna pihak kerajaan bukan sahaja telah hilang satu sumber hasil cukai tanah tetapi turut memberi bantuan membaiki rumah yang terkena musibah banjir sedangkan status rumah yang dibina adalah salah dari segi undang-undang.
Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang atau peraturan supaya sungai sentiasa dipelihara dan tidak dijadikan lot tanah hak milik individu, sebaliknya kekalkan sebagai hak umum yang sentiasa terpelihara. Ini bukan sahaja tertumpu kepada isu rumah yang terlibat banjir tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk melibatkan projek-projek tertentu.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur