Pantau penyalahgunaan tong kitar semula untuk amal - Utusan Malaysia

Pantau penyalahgunaan tong kitar semula untuk amal

TONG kitar semula amal banyak diletakkan di lokasi-lokasi strategik seperti kawasan perumahan dan stesen minyak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK kepada kenyataan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam ruangan ini pada 31 Disember lalu bahawa pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa dan meletakkan halangan bagi mengekang sikap penduduk Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, Selangor yang suka membuang sampah sarap di merata-rata tempat termasuk di simpang dan di tepi jalan.

Sekiranya terdapat bukti kukuh dan boleh digunakan sebagai maklumat, MBSJ juga akan mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSJ) 2007.

Bagi saya, cadangan ini sememangnya wajar bagi membanteras sikap tidak beretika penduduk yang suka membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

Pemantauan dan pengeluaran kompaun ini juga harus dipanjangkan kepada mereka yang menyalahgunakan tong kitar semula amal yang banyak diletakkan di kawasan-kawasan strategik seperti taman perumahan, stesen minyak dan tempat letak kenderaan pusat beli-belah.

Selain memudahkan masyarakat untuk menderma barangan terpakai kepada insan memerlukan, tong terbabit menggalakkan masyarakat setempat untuk mengamalkan amalan kitar semula.

Namun, apa yang menyedihkan, kita mungkin pernah melihat pemandangan kurang enak tatkala melalui kawasan terletaknya tong kitar semula ini yang tidak terurus dan berlaku lambakan barangan yang tidak sepatutnya diletakkan.

Bahkan ada yang mengambil kesempatan menjadikan tong ini sebagai tempat pembuangan sampah segera untuk sisa pepejal dapur. Sampah seperti sisa makanan, tin makanan dan minuman, botol serta alatan dapur menjadikannya kotor, busuk dan berulat sekiranya tiada yang membersihkan.

Ada juga segelintir masyarakat yang tidak peka telah mengambil jalan mudah dengan menjadikan tong kitar semula ini sebagai tempat untuk melupuskan barangan besar atau pukal isi rumah mereka.

Selain dicampakkan di dalam tong ini, kawasan sekelilingnya juga dijadikan medan lambakan barangan usang seperti perabot, tilam, tin cat dan perkakasan elektrik yang sudah rosak.

Ada golongan yang melakukan perkara ini secara terang-terangan. Ada pula segan silu dengan menunggu waktu malam untuk melakukan operasi. Ada mengharapkan agar barangan ditinggalkan itu akan segera diambil dan dibawa pulang oleh penduduk yang kebetulan lalu-lalang di situ.

Kelewatan pihak kontraktor yang ditugaskan untuk mengutip hasil derma barangan terpakai dari lokasi tong-tong ini juga telah mengundang situasi tidak kurang hebat impaknya.

Ada pula dalam kalangan masyarakat yang mengambil kesempatan menyelongkar dan memilih barangan terpakai untuk diambil. Hasilnya, ada barangan yang tidak berkenan di hati dibiarkan bersepah merata-rata.

Objektif inisiatif yang dipelopori pihak swasta serta kerajaan tempatan ini sememangnya mulia. Namun, masyarakat awam khususnya penduduk sekitar harus lebih peka akan matlamat yang ingin dicapai.

Amalan kitar semula sekiranya difahami sepenuhnya juga mampu menjamin kelangsungan hidup masyarakat setempat, terutama ketika negara masih berdepan keadaan ekonomi tidak menentu.

Sempena tahun baharu 2023, marilah kita membuang jauh-jauh sikap ambil mudah dan tidak bertanggungjawab ini. Jangan jadikan tong kitar semula amal ini sebagai tempat pembuangan dan lambakan barangan serta sisa tidak sepatutnya. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya