SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik dengan berita Lima juta murid dapat bantuan yang diterbitkan di muka depan Utusan Malaysia, pada 30 Disember lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 disalurkan secara dua fasa iaitu seawal Januari dan Mac tahun ini tanpa mengira latar belakang ibu bapa.
Sementara itu, bayaran fasa kedua khusus melibatkan murid tahun satu yang baru memulakan sesi persekolahan pada Mac mengikut Takwim Akademik 2023/2024.
Kesempatan ini, saya ingin menarik perhatian terhadap bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang mana kadarnya masih RM100 untuk murid terpilih berdasarkan pendapatan ketua isi rumah (KIR).
Beberapa tahun sebelumnya, KWAPM dibahagikan kepada dua kategori iaitu bantuan bulanan dan bantuan persekolahan yang berjumlah RM700 seorang bagi murid terpilih. Kemudian bantuan distruktur semula dan dikurangkan kepada RM100 saja.
Tabung KWAPM telah ditubuhkan di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 berdasarkan Surat Ikatan Amanah yang telah diluluskan oleh Perbendaharaan pada 10 April 2003.
Ia bertujuan memberi bantuan kepada pelajar miskin supaya tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuat kuasa pada Januari 2003.
Selaras dengan perubahan dasar pengurusan tabung KWAPM, Surat Ikatan Amanah telah dipinda dan diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia pada 25 Mac 2014.
Ia sekali lagi melalui beberapa proses penambahbaikan ke atas Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bilangan 2 Tahun 2017 berdasarkan kepada perkembangan dan keperluan ketika itu.
Dengan keadaan semasa ini apabila serba-serbi mahal, diharapkan pihak Kemententerian Pendidikan mengkaji semula kadar tersebut. Bantuan KWAPM wajar dinaikkan kepada RM200 bagi seorang murid yang layak secara sekali bayar.
Semoga dengan kadar tersebut dapat meringankan beban penjaga yang terpaksa berperang dengan kenaikan harga barang termasuk tambang bas sekolah. – UTUSAN
MANOLITO
Pahang