SAUDARA PENGARANG,
ANTARA peranan masyarakat dalam menjaga keamanan negara ialah saling memahami dan menghormati antara satu sama lain dengan tidak memperlekehkan kepercayaan dan pendapat walaupun mempunyai perbezaan agama dan bangsa. Sikap tersebut dapat mengelak perselisihan faham dan rusuhan yang teruk sehingga boleh menggugat keamanan negara.
Malah masyarakat juga hendaklah mempunyai sikap tolak ansur antara satu sama lain. Jika seseorang mementingkan diri, maka persekitaran dalam sesebuah kehidupan akan menjadi huru-hara dan tidak aman.
Tambahan pula, sikap tolak ansur dapat mengeratkan hubungan dengan menambah kenalan baharu. Sikap ini perlu dipupuk dari kecil agar seseorang itu sentiasa ringan tulang dalam memberi pertolongan kepada yang memerlukan.
Selain itu, semangat patriotisme tinggi boleh memupuk keamanan. Ini kerana semangat patriotisme tinggi dapat memupuk perasaan cinta kepada negara yang mendalam dalam diri seseorang. Tambahan pula, seseorang yang mempunyai semangat patriotisme tinggi kebiasaannya akan sentiasa berusaha mempertahankan negara supaya sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Akhir sekali, masyarakat wajar memilih pemimpin berwibawa dalam mentadbir sesebuah negara. Pengurusan negara yang sistematik adalah berdasarkan pentadbiran yang dibuat oleh pemimpinnya. Oleh itu, masyarakat perlulah memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri seperti alim dalam bab agama, bertanggungjawab, adil, bijaksana dan sebagainya kerana mereka mahir serta mampu menyusun strategi yang sistematik apabila negara menghadapi ancaman daripada pihak musuh. Ini dapat menjadikan negara sentiasa dalam keadaan selamat.
Di samping itu, pemilihan pemimpin yang tepat dapat menstabilkan politik dan ekonomi sesebuah negara. Sistem politik dan ekonomi yang stabil dapat mengelak daripada berlaku rusuhan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Kesimpulannya, sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlu memandang serius berhubung soal keamanan negara dengan memupuk semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan rakyat berbilang kaum.-UTUSAN
MOHD. ROSLAN MOHD. NOR DAN RABIATUL ADAWIYAH RIZALMAN
Universiti Malaya