Malaysia sudah sampai renjatan minda politik matang

Malaysia sudah sampai renjatan minda politik matang

PERSEFAHAMAN yang terbentuk dalam Kerajaan Negeri Perak bukti berlakunya renjatan minda dalam kalangan pemimpin parti politik. – IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Menelusuri kisah dan drama pasca keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga kini, adalah tidak keterlaluan jika diibaratkan sebagai suatu renjatan minda kepada ahli politik mahupun rakyat.

Bermula dengan episod julung kalinya semenjak kemerdekaan negara, tiada parti politik yang berjaya mendapat majoriti untuk terus membentuk kerajaan pasca PRU15. Di sinilah kematangan politik serta rasional ahli politik dan rakyat teruji dalam usaha untuk menentukan hala tuju dan kemajuan Malaysia tercinta ini.

Renjatan kepada dunia politik ini perlu dilihat dari sudut golongan pemimpin parti politik dan rakyat. Pemimpin politik mengamalkan politik matang tidak kira sama ada menang atau kalah dalam PRU15 lalu.

Kesepakatan yang berjaya dicapai di Perak bagi membentuk kerajaan perpaduan bukti berlakunya renjatan minda dalam kalangan pemimpin parti politik, yang mempunyai ideologi berbeza, yang telah berperang psikologi semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU.

Sementara bagi rakyat, mereka seakan-akan terpinga-pinga dan direnjat apabila akhirnya mendapat satu titik pertemuan yang diharapkan boleh menjadi resipi baharu yang merancakkan lagi politik kepartian dan rasional pengundi dalam membuat pilihan masing-masing pada PRU yang akan datang. Di sinilah peluang kerajaan baharu yang terbentuk untuk membuktikan kepercayaan rakyat dengan menterjemahkan apa yang dilaung-laungkan selama ini adalah tidak retorik.

Selain itu, Malaysia menerima reaksi positif dari seantero dunia melalui ucapan tahniah kepada pelantikan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang baharu. Situasi ini jangan hanya dilihat kepada pengaruh individu dan aura positif perdana menteri sahaja, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, iaitu sebagai indikator pengiktirafan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Melangkah ke hadapan, marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu ‘menyahcaskan’ renjatan ini dalam usaha mengharungi pancaroba yang mendatang, dengan harapan renjatan kepada politik matang ini bakal mengundang kebaikan buat kita semua.

Galah yang panjang mengait buah
Buah dapat pokok tak rosak
Beralah itu tak semestinya kalah
Menang pula di mata khalayak

Lihat awan dan langit cerah
Namun di jalan seperti berair
Nekad ke hadapan tanpa gundah
Demi negara dan tanah air-UTUSAN

DR. MADIHA BAHARUDDIN
Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya