Main gajet sendirian undang jadi mangsa pedofilia

Main gajet sendirian undang jadi mangsa pedofilia

IBU bapa perlu sentiasa memantau penggunaan gajet oleh kanak-kanak bagi mengelak daripada menjadi mangsa pedofilia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, tular di Twitter mengenai beberapa tangkap layar berkenaan insiden seorang pelajar sekolah yang menjadi mangsa pedofilia dalam talian. Kononnya ingin menjalankan pemeriksaan kesihatan yang memerlukan gambar pelajar dalam keadaan tidak berpakaian.

Namun, apabila ibunya bertanyakan kepada pengetua sekolah, beliau menyatakan pemeriksaan kesihatan sebegitu tidak mungkin berlaku sama sekali.

Insiden seperti ini menunjukkan betapa bahayanya penggunaan media sosial kepada anak-anak jika tiada pemantauan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka daripada ancaman pedofilia.

Ancaman pedofilia amat berbahaya dan boleh memberikan kesan buruk kepada mangsa terutama dari segi psikologi.

Akibatnya, mangsa akan mengasingkan diri serta enggan berinteraksi dengan orang lain kerana hilang keyakinan dan merasakan mereka kotor.

Tumpuan mangsa terhadap pelajaran juga akan terganggu kerana ketidakstabilan emosi dan akhirnya menjejaskan proses pembelajaran kerana sering dihantui sejarah hitam itu.

Hal ini perlu diambil serius terutama ibu bapa kerana anak adalah harta yang tidak ternilai dan perlu dijaga dengan penuh keprihatinan dan kasih sayang. Langkah pencegahan perlu diambil kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Antara langkah keselamatan yang boleh diambil adalah elakkan anak-anak daripada bermain gajet bersendirian tanpa pemerhatian kerana ditakuti mereka terjebak menjadi mangsa dandanan seksual sama ada melalui media sosial atau permainan dalam talian.

Walaupun permainan dalam talian boleh melatih pemikiran dan kreativiti, namun ia tidak bermaksud tiada ancaman kepada anak.

Selain itu, perlu juga memupuk sikap tiada rahsia antara anak dan ibu bapa kerana kebiasaan modus operandi mereka adalah dengan meminta mangsa untuk merahsiakan perbualan dibuat sekali gus meletakkan mangsa berada dalam keadaan bahaya tanpa disedari.

Ibu bapa juga perlu memberikan pendedahan awal pada anak tentang bahaya memberi gambar atau memuat naik gambar sewenang-sewenangnya walaupun kepada orang yang mereka kenali.

Oleh itu, keprihatinan ibu bapa haruslah dititikberatkan demi keselamatan dan kesejahteraan masa hadapan anak mereka terjamin.-UTUSAN

NOOR IZZAH IZHAR
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya