SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN proaktif Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap isu jurulatih menampar dua pemain ketika berlangsungnya Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Johor pada Disember lalu harus dipuji.
Namun, saya juga meminta tindakan segera dari sudut mengubah polisi yang bermasalah. Kementerian Belia dan Sukan ketika pentadbiran yang lepas telah berjanji untuk menggubal Akta Sukan Selamat namun gagal membentangkan akta ini seperti yang dijanjikan pada sesi lalu.
Oleh itu, besar harapan saya supaya Yeoh membentangkan segera akta tersebut pada sesi Parlimen akan datang.
Akta Sukan Selamat bukan sahaja tertumpu kepada isu-isu gangguan seksual, rogol dan menghendap tetapi turut merangkumi soal keganasan yang melibatkan fizikal dan melanggar hak-hak asasi manusia.
Saya lihat dalam hal ini, Malaysia jauh terkebelakang apabila bercakap soal polisi untuk melindungi dan menjaga kebajikan atlet atau pemain industri sukan keseluruhannya.
Kita juga masih belum memberi kebebasan sepenuhnya kepada atlet yang berada di sesebuah naungan persatuan sukan untuk memilih berdikari menjadi pemain bebas seperti isu pemain badminton negara ini, Lee Zii Jia pada tahun lepas.
Saya mengusulkan kepada Yeoh supaya menubuhkan Akta Sukan Amatur supaya tiada lagi isu persatuan sukan cuba menyekat suara atlet dengan tidak memberi kebebasan kepada atlet tersebut untuk membuat pilihan.
Ketika pentadbiran kerajaan silih berganti dan politik negara tidak menentu, sudah pasti kita ingin melihat satu anjakan paradigma dalam pentadbiran di setiap kementerian terutama dari sudut polisi yang menguntungkan rakyat terbawah. – UTUSAN
YUSLAINI AZMI
Setiausaha PKR Cabang Batu