SAUDARA PENGARANG,
PEMAIN badminton negara kita cukup bagus beraksi di gelanggang sekiranya bertemu pemain-pemain negara Barat. Tetapi sekiranya bertemu pemain-pemain dari negara Asia, selalu atlet kita kecundang.
Kalau tidak di permulaan permainan, di separuh akhir permainan, atlet kita kalah. Padahal pemain luar ini tidak sekuat mana pun, lebih kurang sama dengan pemain kita.
Ada masa, atlet negara kita bermain lebih baik daripada pemain-pemain luar ini. Tapi kebelakangan ini pemain kita selalu kalah dan tewas. Kenapa?
Di sini saya perhatikan dengan teliti, pergerakan pemain badminton kita macam kena pukau, mental lemah, pergerakan kaku dan tenaga pula macam tidak berdaya terutama di set penentuan.
Saya rasa bukan salah dari segi latihan, mungkin ada perkara lain yang mengganggu pemain-pemain kita ini sebelum beraksi, maksud saya benda-benda ‘ghaib.’
Ini kerana saya perhatikan, pemain-pemain Asia ini boleh dikatakan semua tidak kira lelaki atau perempuan, apabila masuk gelanggang, macam-macam objek pelik yang dipakai.
Ada pemain lelaki pakai kalung sampai dua di leher dan tangan pula diikat tali-tali yang berwarna. Perempuan pun sama, cuma bezanya kalung adalah daripada emas.
Apa pentingnya pemain memakai benda-benda pelik ini semasa beraksi dalam gelanggang? Ini mesti ada satu tujuan tersirat.
Saya mengesyaki objek-objek pelik dipakai bertujuan untuk mengelirukan pandangan dan melemahkan mental pihak lawan semasa beraksi.
Jadi, untuk mengelakkan perkara ini berterusan, saya cadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat peraturan tidak membenarkan semua pemain yang bertanding dalam kejohanan kebangsaan atau antarabangsa yang diadakan di negara ini memakai objek-objek pelik seperti ini. – UTUSAN
ABDUL RAHIM OTHMAN, Kuala Lumpur