SAUDARA PENGARANG,
NAMPAKNYA pergolakan politik terus berlaku walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah lama selesai.
Terbaharu melibatkan Sabah sedangkan banyak azam bagus yang diluahkan ahli politik sempena tahun baharu 2023 termasuk untuk kurang berpolitik dan memberi lebih tumpuan pada usaha membantu rakyat.
Masalah ekonomi dan kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat perlu diatasi segera. Penularan virus Covid-19 serta pelbagai variannya juga masih berlaku di dalam negara kita dan di serata dunia.
Umum mengetahui, kelembapan ekonomi dunia pada ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keadaan ekonomi dalam negara kita.
Oleh itu, perhatian utama yang perlu diberikan pada masa kini adalah mencari jalan bagi mengurangkan impak masalah ekonomi terutama kesan peningkatan kos sara hidup rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Sekiranya kita gagal mengambil perhatian serius terhadap perkara ini, rakyat akan hidup susah dan mula terdesak untuk melakukan kegiatan jenayah dan perkara yang menyalahi undang-undang.
Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi membantu rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi semasa masa kini.
Kerajaan perlu menggiatkan lagi usaha mencari jalan untuk meringankan beban rakyat dengan memperkenalkan lebih banyak langkah proaktif dan kreatif.
Para pemimpin tempatan yang telah dipilih pada PRU15 lalu juga perlu memainkan peranan dengan memberi perhatian utama kepada masalah dihadapi rakyat di kawasan yang mereka menangi.
Mereka harus rajin turun ke padang serta menanyakan masalah dihadapi oleh rakyat. Mereka perlu mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima daripada orang ramai serta berusaha membantu dengan sedaya upaya.
Beban
Setiap pemimpin yang telah dipilih pada proses pilihan raya lalu tidak boleh lepas tangan dalam soal menjaga rakyat.
Mereka perlu melunaskan segala tugas dan tanggungjawab kepada pengundi yang telah mengundi mereka.
Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan harga barangan serta perkhidmatan sentiasa berada dalam kawalan serta tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan serta perkhidmatan dengan cara sesuka hati sehingga membebankan pengguna.
Mereka yang melakukan aktiviti mencatut atau menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan sesuka hati demi mendapatkan keuntungan lebih ini boleh diambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
Pihak yang didapati bersalah melakukan aktiviti mencatut boleh didenda maksimum serta dikenakan hukuman penjara.
Jika ia melibatkan pertubuhan perbadanan atau syarikat, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.
Jika ia melibatkan bukan pertubuhan perbadanan atau individu sahaja, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)