SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN harus mengambil tindakan sewajarnya jika para majikan tidak mematuhi pindaan terbaru Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Salah satu perubahan penting dalam Akta Kerja 1955 ialah pengurangan tempoh masa bekerja seminggu dari 48 jam ke 45 jam, termasuk waktu rehat.
Pindaan itu telah dikemukakan di Parlimen oleh Datuk Seri M. Saravanan pada Ogos lalu ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.
Daripada pemerhatian saya, ramai pekerja masih tidak tahu mengenai pengurangan tempoh masa bekerja adalah termasuk waktu rehat. Malah, tiada sebarang perubahan dilakukan oleh majikan mereka.
Saya menerima banyak soalan daripada pekerja yang selama ini telah bekerja lima setengah hari seminggu iaitu bekerja dari hari Isnin ke Jumaat dan ditambah separuh hari pada Sabtu atau pekerja bekerja penuh pada Sabtu setiap dua minggu.
Dengan undang-undang baharu yang mula berkuat kuasa ini, seorang pekerja yang bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang telah bekerja selama sembilan jam sehari.
Jikalau pekerja ini bekerja dari Isnin ke Jumaat, maka mereka telah bekerja selama 45 jam seminggu. Jika majikan ingin pekerja ini bekerja lagi separuh hari pada Sabtu, maka syarikat mesti membayar gaji kerja lebih masa.
Waktu bekerja ini telah ditambah kerana majikan berpendapat waktu rehat tidak termasuk dalam pengiraan tempoh bekerja.
Saya berharap Menteri Sumber Manusia yang baharu, V. Sivakumar memastikan pengiraan jam kerja ini dipatuhi selaras dengan pengumuman pindaan terbaru Akta Kerja 1955.
Tindakan tegas harus diambil ke atas syarikat-syarikat yang tidak mematuhi undang-undang baharu ini. – UTUSAN
GEETHA ANBALAGAN, Kuala Lumpur