SAUDARA PENGARANG,
PADA 18 hingga 22 Disember lalu berlangsung sesi ke-20 Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-IPHRC) di Jeddah, Arab Saudi. Persidangan itu adalah sejurus setelah tamatnya Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang berlangsung dari 20 November sehingga 18 Disember lalu.
Justeru, menarik apabila di dalam dokumen resolusi OIC-IPHRC, negara-negara Islam telah mengucapkan tahniah kepada kerajaan Qatar atas kejayaannya menepis propaganda mengenai Islam dan secara tegas menolak agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali mengikuti riuh-rendah komen berat sebelah oleh dunia Barat ke atas Qatar, terutama sekali apabila terdapat usaha menentang larangan minuman keras di dalam stadium dan larangan mempromosi budaya LGBTQ.
Berlatarbelakangkan suasana ini, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) menyokong penuh resolusi-resolusi OIC-IPHRC tersebut.
Antara perkara-perkara yang telah dinyatakan secara tegas dalam resolusi itu adalah menolak sekeras-kerasnya perbincangan tentang hak individu LGBTQ untuk mengamalkan cara hidup mereka sebagai isu hak asasi manusia.
Dalam perkara ini, ditegaskan bahawa konsep LGBTQ adalah tidak bersifat sejagat dan tidak diiktiraf oleh piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Resolusi lain adalah mengakui cabaran yang timbul terhadap nilai kekeluargaan minoriti Islam meliputi pengenalan Pendidikan Seksual Komprehensif (CSE) yang mempromosi hak-hak LGBTQ dan peningkatan trend mengamalkan hubungan luar nikah.
Bagi menangani cabaran ini, penduduk minoriti Islam di sesetengah negara mesti disokong untuk memberikan pendidikan agama di rumah dan sekolah.
Resolusi terbabit turut menyeru entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Hak Asasi Manusia (OHCHR) dan agensi-agensi lain agar tidak melangkaui mandat mereka bertujuan memasukkan kandungan promosi mengenai nilai-nilai kontroversi LGBTQ dan CSE.
Mengutuk beberapa penerbitan daripada pelbagai agensi dan badan perjanjian PBB, organisasi serantau serta semua entiti lain yang mempromosikan norma bertentangan dengan hak asasi manusia sejagat dan menghina nilai-nilai agama yang berpotensi memudaratkan kesihatan fizikal dan psikologi kanak-kanak.
Sehubungan itu, digesa badan-badan PBB ini supaya mengelak daripada menggunakan bahan advokasi yang tidak diluluskan atau diterima pakai secara sebulat suara, sekali gus menjejaskan nilai, norma dan instrumen hak asasi manusia yang diterima secara sejagat.
MACSA juga ingin mengajak rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa mengambil perhatian bahawa resolusi OIC-IPHRC turut disokong oleh negara dan pertubuhan bukan Islam seperti Family Watch International, satu pertubuhan prokeluarga yang turut menolak agenda LGBTQ bagi penganut Kristian.
Dimasukkan juga dalam resolusi ini, nilai-nilai kekeluargaan yang kuat dijulang sebagai teladan oleh pasukan bola sepak Maghribi semasa Piala Dunia Qatar 2022 patut dicontohi dan ditonjolkan sebagai model. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR & LUKMAN SHERIFF ALIAS, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)